Jika gemuk sejak kecil, tunggulah akibatnya

Jika gemuk sejak kecil, tunggulah akibatnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bayangkan bagaimana individu lingkungan umur muda yang sepatutnya mengenal cara dunia bekerja, meneroka persekitaran, mengejar pendidikan dan cita-cita serta masuk alam pekerjaan, namun di peringkat awal berdepan fasa yang mengubah 100 peratus kehidupan disebabkan gaya hidup dan penjagaan kesihatan yang tidak seimbang?

Di musim perayaan Aidilfitri ini pula, cabaran orang ramai adalah bagaimana mahu mengawal dan menyeimbangkan pemakanan yang sihat selepas berpuasa selama sebulan?

Rendang, ketupat, kuah kacang dan kuih-muih pasti menjadi perhatian sepanjang perayaan. Pun begitu, makan, makan juga. Tetapi, jangan sampai meminggirkan panduan kalori makanan supaya tiada yang terlebih berat badan selepas hari raya.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 melaporkan, 54.4 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan (obes) dengan lebih dua juta terjejas dengan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan darah tinggi.

Tinjauan sama juga mendapati semakin ramai golongan muda di negara mengalami kerosakan buah pinggang berkait obesiti menyaksikan 84 peratus orang dewasa berumur 18 hingga 24 tahun tidak mengetahui menghidap kencing manis.

Rekod turut mendapati dua daripada lima orang dewasa berumur 18 hingga 24 tahun tidak menjalani pemeriksaan kesihatan dalam tempoh 12 bulan terdahulu.

Pakar Perunding Nefrologi dan Pakar Perubatan Pemindahan Buah Pinggang, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Prof. Dr. Wong Hin Seng berkata, penyakit buah pinggang bermula sejak awal berisiko menjejaskan tahun paling produktif dalam kehidupan.

 

 

Katanya, keadaan itu juga memberi tekanan yang ketara kepada keluarga dan sistem penjagaan kesihatan negara.

“Obesiti boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang kronik dan mempercepat proses kegagalan fungsi. Apabila buah pinggang menerima tekanan berteru­san, risiko berlaku kegagalan fungsi lebih cepat.

“Bagi mereka yang bergelut dengan obesiti, penyakit buah pinggang mungkin tidak dapat dikesan di peringkat awal. Apabila gejala ini muncul, misalnya bengkak atau keletihan, biasanya sudah terlambat untuk memperbaiki kerosakan.

“Jika anda gemuk sejak zaman kanak-kanak atau semasa usia remaja, kesan negatif obesiti kepada buah pinggang boleh bermula sejak itu dan anda mungkin akan mengalami penyakit buah pinggang kronik apabila berumur lingkungan 30-an hingga 40-an,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Kajian menunjukkan obesiti meningkatkan risiko mendapat kadar penurasan glomerulus (GFR) rendah dan albuminuria, iaitu keadaan air kencing mengandungi jumlah albumin tidak normal juga satu ciri penyakit buah pinggang kronik.

Menurut Pendaftaran Dialisis dan Transplan Malaysia 2023, 56 peratus daripada kes dialisis baharu di negara berpunca daripada kencing manis, diikuti oleh hipertensi (30 peratus), sekali gus membangkitkan kebimbangan kesihatan mengenai penyakit buah pinggang.

Sehubungan itu, Hin Seng berkata, buah pinggang umpama penapis semula jadi badan yang membuang sisa dan cecair berlebihan, mengawal tekanan darah dan mengimbangi elektrolit untuk memastikan semua berjalan lancar.

“Bagaimanapun, organ yang banyak bekerja keras ini boleh terjejas akibat berat badan berlebihan. Obesiti bukan sahaja boleh mengundang diabetes atau tekanan darah tinggi, malah berisiko merosakkan buah pinggang walaupun tanpa kedua-dua penyakit ini,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan obesiti boleh dilihat pada perubahan besar dalam tabiat pemakanan dan pilihan gaya hidup menyaksikan diet tradisional yang kaya dengan serat dan bahan-bahan berkhasiat berganti dengan makanan yang proses dan minuman manis selain tidak melakukan aktiviti fizikal.

“Kanak-kanak dahulu banyak bermain di luar seperti bola sepak, berbasikal, berlari-lari namun kini, penggunaan skrin lebih menguasai hidup mereka. Golongan dewasa juga kurang aktif dan menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer dan televisyen.

“Budaya makan tidak mengira masa di Malaysia juga merupakan faktor penyumbang kepada isu ini kerana makanan boleh didapati setiap masa. Golongan muda yang bekerja dalam tempoh yang panjang pula lebih memilih cara mudah mendapatkan makanan berbanding nutrisi,” katanya.

Katanya, orang ramai terutama yang berbadan gemuk perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan secara kerap kerana fungsi buah pinggang dan ujian protein air kencing dapat mengesan masalah dengan lebih awal.

“Buah pinggang anda berfungsi selama 24 jam setiap hari dan tiba masanya kita memberi penjagaan dan perhatian sewajarnya. Saya percaya bahawa rakyat Malaysia boleh membina masa hadapan yang lebih baik dan sihat,” katanya.

Katanya, keluarga perlu memberi tumpuan kepada diet seimbang dan menggalakkan anak-anak kekal aktif sejak usia muda.

“Bagi golongan yang sudah mengalami obesiti, perubahan kecil dan konsisten boleh melindungi kesihatan buah pinggang. Tukar makanan proses dengan pilihan yang kaya dengan serat, kurangkan gula dan kekal aktif.

“Kurangkan gula bukan penyelesaian boleh berlaku dalam sekelip mata. Selera anda perlu mengambil masa untuk diselaras, tetapi lama-kelamaan anda akan kurang mengidam rasa manis ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×