BERITA Lebai Firdaus meninggal dunia tersebar meluas melalui kumpulan WhatsApp
Kampung Seri Baru. Telefon bimbit Pak Tua bertalu-talu berbunyi minta pengesahan tentang kematian dan tata kelolaan pengurusan jenazah Lebai Firdaus. Pada Jumaat selepas subuh disahkan Lebai Firdaus meninggal dunia. Penghulu segala hari yang sangat diharapkan kebanyakan umat Islam yang mengakui sebagai hamba Allah beriman.
Kerana arwah Lebai Firdaus meninggal dunia di rumahnya dan ditemani Syukri, anak jiran yang ada hubungan saudara terpaksalah menunggu pengesahan kematian dari pihak hospital.
Pak Tua spontan teringat semula pesanan terakhir Lebai Firdaus seminggu lalu ketika menziarahi Lebai Firdaus di rumahnya. Tahap kesihatan kelihatan semakin uzur.
Pada tahap usia Lebai Firdaus mencecah 82 tahun, daya ingatannya masih kuat dan mampu membaca al-Quran terutamanya Surah Al-Mulk menjadi hafalannya. Lebai Firdaus masih mampu berjalan secara bertongkat dan boleh memandu kereta lamanya pergi balik ke Surau Nur Hikmah terletak tidak jauh dari rumahnya. Simptom awal serangan sakit akhmar dapat dikenal pasti oleh Pegawai Perubatan di Hospital Pontian yang memeriksanya secara berjadual setiap dua bulan.
Kegigihan Lebai Firdaus yang bersendirian sejak kematian isterinya setahun lalu sangat dikagumi. Memang ada salah seorang jemaah muslimah ibu tunggal yang tinggal di kampung bersebelahan menawarkan diri sebagai teman hidup namun Lebai Firdaus menolak secara berhemah.
Begitu juga kesemua empat anaknya yang bekerjaya dan berjauhan mengajak Lebai Firdaus tinggal bersama dengan salah seorang daripada mereka atau bergilir-gilir, namun Lebai Firdaus memilih hidup bersendirian di rumah yang kos pembinaan dibiayai bersama arwah isterinya.
Pak Tua berumur 75 tahun, salah seorang warga tertua di Kampung Seri Baru yang masih hidup sebagai rujukan setempat termasuklah pengurusan jenazah sejak berpuluh tahun lalu. Hubungan baiknya dengan arwah berdasarkan keluarga.
Hari itu fikiran Pak Tua makin keliru. Syukri, anak saudara Lebai Firdaus baru memaklumkan kepadanya berkaitan pengurusan jenazah Lebai Firdaus. Jenazah akan dikendalikan sepenuhnya oleh Pasukan Pengendalian
Jenazah Islam yang berdaftar dan diperakui oleh jabatan agama. Bermula memandikan mayat, mengkafankan, solat jenazah dan pengkebumian.
“Syukri, Lebai Firdaus minggu lepas berpesan kalau dia meninggal, minta solat jenazah diimamkan anak lelaki sulungnya, Yusof yang bekerja di Kuantan. Proses pengkebumian pula minta dikendalikan anak- cucu.” Pak Tua bersuara resah.
“Tetapi Pak Tua, pengurus pasukan yang beritahu saya dan telah pun disetujui anak sulung arwah. Semua biaya ditanggung Yusof. Tidak mahu menyusahkan masyarakat di sini, ” ujar Syukri bimbang kerana sikap Pak Tua yang memang tegas dalam soal berkaitan jenazah.
“Amanat sebolehnya dilaksanakan walaupun pakej perkhidmatan telah dibayar. Ingat, ini permintaan terakhir Lebai Firdaus. Berilah peluang agar rohnya tenang,” jawab Pak Tua ringkas penuh bermakna.
“Tetapi Pak Tua,” Syukri tergagap sambil menggaru kepala berulang-kali.
“Pak Tua berbincanglah dengan wakil pasukan pengurusan jenazah nanti. Nasihat Pak Tua mungkin mereka akur. Kalau saya yang cakap tentu dimarahnya. Pak Tua cakaplah. Mungkin mereka boleh pertimbangkan.” Syukri memilih alternatif terakhir.
Syukri menyerahkan telefon bimbitnya kepada Pak Tua supaya dapat berbual secara peribadi. Perbualan Pak Tua singkat tetapi tegas dan penuh nasihat berdasarkan amanat. Pak Tua menyerahkan semula telefon bimbit kepada Syukri.
Raut wajah Pak Tua ceria tetapi mengapa menggelengkan kepala berulang kali? Itu tandanya separuh kesal lantas meninggalkan Syukri yang makin kebingungan.
Pak Tua mewakili keluarga arwah Lebai Firdaus menyampaikan pesanan.tentang susunan tata cara pengurusan jenazah mulai saat itu sehingga selesai. Van beserta petugas khas tiba. Pengendali urusan terus mengalihkan jenazah dari ruang menunggu ke dalam van. Sebaik sahaja Syukri masuk ke dalam van, pintu belakang ditutup. Hanya dua orang menguruskan. Syukri sebagai wakil keluarga arwah Lebai Firdaus menjadi saksi pengurusan bagi mengelakkan prasangka .
Pandangan mata jemaah yang menunggu tertumpu ke arah sosok badan anak lelaki sulung arwah Lebai Firdaus. Dia berpakaian rasmi korporatnya terus berjalan pantas menghampiri dan memeluk Pak Tua yang sedang berbual dengan pengurus pengendalian jenazah arwah ayahnya. Mereka saling bersalaman lantas bertegur sapa sekejap.
Sepertimana dipersetujui, imam bertugas mempelawa Yusof mengimamkan solat jenazah. Yusof akur dan memulakan solat seperti yang dipelajarinya ketika di sekolah agama dahulu. Yusof cuba menguatkan semangat.
Itulah kali pertamanya mengimamkan solat jenazah memenuhi pesanan Pak Tua.
Bukannya mudah seorang anak lelaki mengimamkan solat jenazah ibu bapa sendiri kalau tidak cukup kuat semangat dan spiritualnya. Yusof baru sedar tidak banyak masa diperuntukkan untuk mengambil tahu keadaan kesihatan ayahnya yang bersendirian di kampung.
“Saya mewakili keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada kariah kampung sama-sama menyantuni pengurusan jenazah ayah saya sejak pagi tadi sehingga selesai. Saya juga berharap, andainya selama hidup arwah ibu dan ayah saya sebelum ini masih ada janji-janji dan hutang-piutang yang belum dapat disempurnakan diharap terus berhubung secara peribadi dengan saya.” Yusof bersuara lunak dan tersusun.
Peluang terakhirnya, Yusof mengakui kesilapan secara terbuka tanpa segan silu menyebabkan kariah di situ terasa sebak. Kebanyakan mereka faham peribadi dan sikap yang menjadi bahan perbualan sejak Lebai Firdaus hidup bersendirian.
“Maafkan saya selama ini mengabaikan tanggungjawab sebagai anak lelaki sulung arwah ayah dan ibu. Tidak hormat kepada kepimpinan masyarakat kerana lebihkan kerja di kota. Sepatutnya jadi contoh sebagai anak yang soleh menjadi kebanggaan. Maafkan kesalahan saya kepada hadirin jika ada. Hari dan peristiwa ini telah menyedarkan saya,” kata Yusof sebak.
Di lokasi perkuburan di liang lahad, siap sedia beberapa lelaki kalangan keluarga terdekat menyambung tugasan untuk kerja akhir pengkebumian.
Imam bertugas menemani Yusof yang datang menuju ke situ. Imam segera menyerahkan buku panduan kepada Yusof. Sekali lagi perhatian tertumpu ke arah Yusof yang membaca baris-baris ayat satu persatu dengan suaranya jelas dan tersusun sebutannya. Dia cuba mengawal perasaan semampunya, namun ada ketikanya patah sebutannya tersekat-sekat dan terhenti. Sesekali hatinya beristighfar .
“Wahai ayahku, Lebai Firdaus bin Abdullah. Mati dan balasan sesuai dengan amalan baik di dunia itu adalah benar. Azab kubur itu benar.” Yusof cuba menguatkan semangat meneruskan bait-bait syahdu yang ditatapnya.
“Wahai ayahku Lebai Firdaus bin Abdullah. Semoga Allah kurniakan rahmat-Nya kepada ayah yang pergi meninggalkan kami serta segala nikmat kemewahan dunia dan sekarang ayah berada di ambang akhirat (alam Barzah) sehingga ke hari Kiamat. Al-Fatihah,” lafaz bibir Yusof benar-benar menjentik perasaan hadirin.
Pak Tua yang berada di sebelahnya, mengusap-usap bahu Yusof sambil berterusan berselawat mengembalikan semula semangat Yusof sehingga selesai. Selepas itu seorang demi seorang beredar meninggalkan kuburan.
Tinggal Yusof, Pak Tua dan Syukri di situ. Yusof menatap wajah Pak Tua berulang kali bagaikan menagih simpati. Yusof yakin Pak Tualah yang memahami perasaan Yusof ketika itu.
“Maaf Pak Tua. Saya baru terasa kekesalan berpanjangan kerana sakitkan hati ayah dan ibu sebelum ini. Allah ampunkan tak dosa saya kepada mereka?”Yusof teragak-agak menyuarakan bibit kekesalannya lantaran berdosa kepada ayah-ibunya.
“Syukurlah, Yusof sudah dapat merasai kekesalannya setelah ketiadaan kedua-dua orang yang sangat menyayangimu meninggal dunia,” ujar Pak Tua.
“Saya sebagai seorang anak sulung diberi peluang pelajaran secukupnya sehingga mampu berkeadaan serba cukup sekarang, sepatutnya tidak jadi begini,” suara Yusof tersekat-sekat di kerongkongnya.
“Mengapa Pak Tua tak beritahu tentang ayah sakit tenat!” Yusof terkedu.
“ Äyahmu ketika itu tidak mahu semua adik beradikmu tahu. Biarkan dengan kesibukan mengejar harta dunia masing-masing,” Pak Tua terpaksa menyuarakan pesanan.
“Yusof acuh tak acuh saja sejak dulu setiap kali ayah atau ibu menasihatkan Yusof. Pernah memberontak dan paksa ayah memenuhi semua kehendak Yusof walaupun kesempitan kewangan ketika itu.” Luah hati Yusof. Pak Tua dan Syukri mendengar dengan teliti.
“Saya mula terasa kesannya sekarang. Banyak kali saya menyakiti hati ayah dan ibu malahan selalu meninggi suara,” Yusof terpaksa meluahkan perasaan semahu-mahunya tanpa segan silu.
“Kerana sibuk utamakan kerjaya, saya jarang tanya khabar ayah, selepas arwah ibu meninggal. Apatah lagi bertanya soal sara hidup. Ayah ada elaun pesara kerajaan, duduk bersendirian pula,” ujar Yusof. Syukri menunggu peluang untuk mencelah sambil menyusun ayat di mindanya.
“Ayah abang memang berhati mulia walaupun terpaksa menjeruk perasaan dengan perangai abang Yusof adik beradik. Anak cucu macam bukan lagi keluarga.” Syukri mengambil peluang menegur berterus terang.
“Arwah ayahmu dulu bijak mengurus kewangan. Dulu mana ada PTPTN. Ibumu sanggup menggadaikan barang kemas kerana membiayai persekolahan. Syukur kesemua empat beradikmu berjaya dalam kerjaya,” Pak Tua menyampaikan pendirian.
“Pak Tua, cakaplah, apa yang perlu Yusof buat bagi menebus kesilapan dan dosa sebagai anak derhaka terhadap arwah ayah dan ibu. Mereka kini telah tiada malahan Yusof kerap abaikan tanggung jawab dalam berbagai aspek ibadah, keagamaan dan kebajikan keluarga.”Yusof meluahkan semua yang tersimpan di lubuk hatinya selama ini.
Pak Tua terdiam. Fikirannya bercelaru. Jiwanya berdebat dengan pendiriannya. Perlukah Pak Tua menyuarakan amanat arwah Lebai Firdaus kepada Yusof di kawasan perkuburan yang belum ditinggalkan lagi?
“Yusof, dengar baik-baik amanat ini. Seminggu sebelum ibumu meninggal dunia sehinggalah seminggu sebelum ayahmu meninggal, mereka ada menyuarakan amanat untukmu tetapi terpaksa Pak Tua tangguhkan sehinggalah ke hari ini.” Pak Tua bertekad menyampaikan amanat kerana peluang terbaiknya terluang ketika itu. Syukri dan Yusof saling berpandangan.
“Yusof, segala pengorbanan ayah- ibumu sejak kecil termasuklah makan-minum, pakaian dan sara hidup biaya persekolahan, mereka berdua telah halalkan di dunia hinggalah akhirat. Cuma Yusof perlu bertekad untuk berubah.” Pak Tua terhenti menahan sebak. Berat rasa hatinya untuk menyambung amanah. Lantaran Pak Tua kenal sangat perangai Yusof dan adik beradiknya. Antara mereka pun tidak sehaluan. Masing-masing ada ego tersendiri. Pendidikan sekolah agama semuanya tamat hingga darjah khas. Asas pendidikan agama untuk lulus sahaja.Tidak terus diamalkan untuk menjadi anak soleh atau solehah.
“Ayahmu berpesan sebagai amanat, jadilah Yusof anak lelaki yang bersedia bertanggungjawab, berkebajikan, bersilaturrahim dengan sesama adik-beradik, ipar-duai dan keluarga.” Pak Tua meyuarakan deretan amanat yang lama tersimpan.
Episod perbualan yang tidak dirancang tergugah. Dua anggota daripada Pasukan Pengurusan Jenazah menghampiri Yusof. Mereka memerhatikan butir perbualan dan reaksi spontan dari jauh, tidak mahu mengganggu tumpuan perbualan.
“Maaf ya Tuan Yusof. Kami berdua mendapat arahan daripada pengerusi untuk serahkan sejumlah baki bayaran pakej yang telah disetujui dan dijelaskan sebelum ini,” seorang lelaki menyerahkan sampul surat berisi wang tunai kepada Yusof. Yusof teragak-agak.
“Kita telah setujui dan saya juga sudah menjelaskan sejumlah itu sepertimana dimuktamadkan, ” Yusof keliru mengapa baki wang itu dikembalikan semula.
“Syarikat kami menghormati sikap Pak Tua dan amalan bermusyawarah masyarakat di sini. Malahan kami malu mengapa tidak diamalkan di kebanyakan pakej pengurusan jenazah di tempat lain yang kariah kampung berkemampuan mengendalikan pengurusan.”
Lelaki berpakaian kemas terus bersalaman dan meninggalkan lokasi pertemuan menuju ke arah van pengurusan jenazah untuk ke destinasi yang ditetapkan.
“Pak Tua, demi Allah dengan niat keikhlasan, Yusof mewakili keluarga, arwah ayah dan ibu, Yusof dermakan kesemua wang yang ada ini kepada Tabung Surau Nur Hikmah melalui Pak Tua. Segala pahalanya jika ada khas untuk arwah ayah dan ibu saya.”Yusof menyerahkan sampul surat berisi wang tunai dengan raut wajah tenang.
“PakTua terima bagi pihak Jawatankuasa Surau.” Jawab Pak Tua sambil tersenyum.
Di lubuk hati Pak Tua segunung kesyukurannya dipanjatkan kepada Allah kerana di sebalik kematian insan berhati suci itu, hati Yusof terbuka mengakui kesilapan dan kesombongan mengejar dunia sahaja.
Kekesalan Yusof yang mendalam telah melahirkan satu cahaya hikmah muncul dari timbunan tanah lahad yang masih basah lagi. – UTUSAN










