Agong kurnia sumbangan peribadi kepada mangsa tragedi

Agong kurnia sumbangan peribadi kepada mangsa

SULTAN Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa tragedi letupan paip gas di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada keluarga-keluarga yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seri Paduka berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah keseluruhan RM308,000 iaitu RM1,000 bagi setiap 308 keluarga mangsa menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ). 

Keberangkatan Seri Paduka diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selesai sesi penyerahan sumbangan, Seri Paduka melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights bagi meninjau sendiri keadaan mangsa-mangsa yang dipindahkan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong tiba pada pukul 9.40 pagi bagi melawat lokasi kejadian letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights.

Seri Paduka yang memandu sendiri kereta Proton Satria Neo RS kemudian diberikan taklimat dan penerangan berhubung situasi pada hari kejadian letupan berlaku serta perkembangan semasa mengenai penduduk terjejas.

Seri Paduka dipersembahkan taklimat berkenaan insiden kebakaran paip gas selama hampir 30 minit oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan sebelum berangkat meninjau lokasi kejadian.

Sultan Ibrahim juga berkenan berangkat di lokasi kejadian kebakaran paip gas di Taman Harmoni yang berlaku pada 1 April lalu.

Keberangkatan Seri Paduka disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam pada itu, Seri Paduka menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas jabatan kerajaan dan agensi serta badan bukan kerajaan yang berganding bahu membantu mangsa.  

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN