Tingkat ketakwaan dengan berpuasa enam hari Syawal

Tingkat ketakwaan dengan berpuasa enam hari Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBADAH puasa pada bulan Ramadan lalu boleh diibaratkan sebagai ‘madrasah’ yang mendidik jiwa umat Islam sebelum menyambut Aidilfitri pada Syawal sebagai tanda kemenangan.

Kehadiran bulan Syawal dengan amalan berpuasa sunat enam hari adalah satu anugerah Allah SWT dengan ganjaran pahala selain pelengkap untuk terus istiqomah dalam meneguhkan iman dan takwa.

Berkongsi pandangan berkait kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal, pendakwah bebas, Ustaz Khairudin Mat Lazim berkata, puasa enam hari adalah amalan penting yang disarankan oleh Rasulullah SAW.

Menurutnya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian dia mengiringinya dengan enam hari di bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
(Hadis Riwayat Muslim)

“Bersandarkan kepada hadis itu kefahaman Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

“Alim ulama menghuraikan rahsia tersirat di sebalik ganjaran tersebut dengan menyatakan dalil al-Quran dalam Surah al-An’am ayat ke 160, bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diberi ganjaran sebanyak 10 kali ganda,”katanya ketika ditemui di Masjid al-Hidayah, Kampung Berhala Lima, Limbat, Kota Bharu, baru-baru ini.

USTAZ KHAIRUDIN MAT LAZIM
Nama panggilan:
Babo Din Limbat
Usia: 43 tahun
Asal: Kampung Berhala Lima, Limbat, Kota Bharu, Kelantan.

Sejarah pendidikan:
Sijil Eksekutif Umrah dan Haji
Kolej Pengajian Tinggi al-Insaniah Malaysia
Ijazah Sarjana Muda (Dengan Kepujian Syariah) – Kolej Islam Sultan Ismail Petra (KIAS)
Master Pengajian Islam
Universiti Terbuka Malaysia (OUM)

Tugas hakiki: Pegawai Agama di Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
Tugas sampingan:Pendakwah Bebas bertauliah

 

Beliau yang turut dikenali dengan nama Babo Din Limbat berkata, puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjarkan sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjarkan dengan 60 hari.

“Sekiranya dihitung, jumlahnya bagaikan kita berpuasa selama setahun dengan ganjaran yang tiada tolak bandingnya.

“Sesungguhnya Allah SWT yang Maha Berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya termasuk menyedia satu pintu syurga Ar-Rayyan yang dikhaskan untuk orang yang berpuasa merentasinya,” katanya.

Menurut Babo Din, puasa enam hari merupakan amalan sunat sebagaimana Imam Nawawi menyatakan hadis berkait menjadi dalil bagi mazhab Imam as-Syafie bahawa disunatkan berpuasa enam hari pada bulan Syawal.

Katanya, puasa sunat ini paling awal dimulakan pada 2 Syawal dan haram berpuasa pada hari raya bersandarkan hadis riwayat Imam Bukhari bahawa Rasulullah SAW, melarang umat Islam berpuasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.

“Tidak menjadi kesalahan jika puasa sunat ini dilaksanakan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.

“Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda SAW menyebut bulan Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya,” katanya.

Babo Din berkata, berpuasa enam hari ini adalah peluang keemasan untuk menambah lagi ganjaran pahala amalan umat Islam selepas berakhirnya Ramadan selain membawa pelbagai keberkatan.

Menurutnya, Rasulullah SAW telah menyebut bahawa sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dilanjutkan dengan enam hari pada bulan Syawal, ia akan dianggap seperti berpuasa sepanjang tahun.
“Ibadah sunat ini membantu mengekalkan momentum kebaikan dan ketakwaan yang diperoleh semasa Ramadan selain membantu kita untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa yang mungkin terjadi pada Ramadan lalu.

“Marilah sama-sama kita manfaatkan peluang yang ada untuk melaksanakan amalan berpuasa enam pada bulan Syawal ini. Amalan ini tidak hanya membawa barokah dan kebaikan dalam kehidupan malah akan mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×