Henti tiru trend joget untuk duit raya

Henti tiru trend joget untuk duit raya

MOHD. SUKKI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Umat Islam diingatkan supaya menghentikan perbuatan berjoget sebelum menerima duit raya seperti yang tular dalam media sosial kerana ia meniru tarian budaya asing khususnya yang ada kaitan de­ngan musuh Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman menegaskan, perbuatan tersebut boleh menyebabkan hilang pedoman dan mencemarkan maruah kerana menari secara terbuka dan dikongsi di media sosial.

Katanya, umat Islam mesti menjaga adab dan dalam hal ini, kegembiraan menyambut hari raya tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan batasan yang ditetapkan oleh Islam.

“Kita perlu sedar bahawa hari raya adalah hari kemenangan untuk Islam dan bukan sekadar masa untuk hiburan semata-mata. Justeru, mengikut rentak tarian tradisi Yahudi seperti ‘hora’ dan ‘mayim-mayim’ dalam majlis-majlis Islam adalah sesuatu yang perlu dielakkan.

“Islam tidak melarang hi­buran, tetapi, ia mesti berpandukan adab, akhlak, dan jati diri seorang Muslim. Trend menari secara terbuka, dirakam dan dikongsi di media sosial boleh mencemarkan maruah, terutama bagi wanita dan remaja Islam,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut Mohd. Sukki, sifat malu adalah sebahagian daripada iman, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Namun katanya, malang sekali kerana budaya popular masa kini semakin menghakis nilai malu dalam masyarakat.

“Saya nasihatkan umat Islam, terutamanya anak muda dan kaum wanita, agar menjaga nilai diri, akhlak Islam, serta kehormatan peribadi. Jangan terlalu ikut arus trend media sosial sehingga hilang pedoman.

“Raya tetap boleh meriah. Tapi, biarlah meriah dengan cara Islam yang tenang, sopan, dan diberkati,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap trend meniru tarian dari budaya asing, khususnya yang mempunyai kaitan dengan musuh Islam.

Selain itu, katanya, antara trend lain yang turut membimbangkan ialah pengaruh tarian moden Barat (velocity) yang rancak dan berlatar muzik kuat dalam majlis-majlis Islam terutama ketika hari raya.

“Umat Islam diseru agar kembali kepada hiburan yang selari dengan nilai Islam, seperti kompang, marhaban, silat, nasyid dan pantun.

“Jangan kita leka dengan trend media sosial hingga tergadai identiti kita sebagai umat Islam. Bergembiralah, tetapi biarlah dengan cara Islam yang lebih mulia dan diberkati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN