KUALA LUMPUR: Dua daripada tiga kertas siasatan yang dibuka berhubung insiden kekecohan melibatkan peniaga belon dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) baru-baru ini dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kedua-dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja.
“Satu lagi siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah masih menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung sebuah laman web yang dikaitkan dengan kes tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar operasi Cyber Guardian di Bukit Aman, semalam.
Difahamkan, peniaga belon berkenaan yang digelar ‘abang belon’ oleh warganet, mempunyai 13 rekod kesalahan lampau, majoritinya berkaitan kes dadah.
Sumber turut memaklumkan bahawa suspek sebelum ini pernah dihadapkan ke mahkamah bagi enam daripada kes tersebut.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily menasihatkan orang ramai agar tidak terbawa-bawa dengan emosi dan menggesa mereka supaya sentiasa mematuhi undang-undang. – UTUSAN











