PUTRAJAYA: Malaysia akan mengetuai negara-negara ASEAN bagi merundingkan pengurangan tarif yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin, yang jelas memberi kesan kepada perdagangan global.
Ini kerana negara-negara ASEAN adalah antara paling teruk terjejas dengan dasar tarif baharu yang berkuat kuasa bulan ini.
Daripada 15 negara teratas yang dikenakan tarif, lima adalah dari negara ASEAN iaitu Vietnam sebanyak 46 peratus dan Thailand (36 peratus).
Malaysia tidak terkecuali dalam senarai teratas apabila dikenakan tarif timbal balik pada kadar 24 peratus, sementara Laos dan Kemboja masing-masing pada 48 dan 49 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi pemimpin-pemimpin negara serantau termasuk Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura bagi mendapatkan pandangan serta menyelaraskan tindak balas bersama.
“Kita mahu ada kesepakatan dalam menjawab tindakan AS dan menuntut supaya wujud prinsip keadilan serta kesaksamaan dalam sebarang keputusan perdagangan antara negara, termasuk hubungan dua hala dan serantau seperti ASEAN-AS,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, Kajang, semalam.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya di rantau ini dan akan menyertai mesyuarat menteri-menteri perdagangan ASEAN Khamis depan bagi membincangkan tindakan kolektif terhadap isu sama.
Mengulas mengenai gesaan beberapa pihak agar kerajaan mengenakan tarif balas terhadap AS, Anwar berkata, perkara tersebut turut menjadi antara agenda utama dalam mesyuarat petang ini.
Namun, beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk melindungi kepentingan ekonomi negara, khususnya dalam sektor semikonduktor yang merupakan antara penyumbang utama eksport Malaysia ke AS.
“Sekitar 60 hingga 65 peratus eksport semikonduktor kita adalah ke Amerika Syarikat. Malah, kira-kira 26 peratus daripada keperluan semikonduktor di AS datangnya dari Malaysia.
“Justeru, kita perlu pertimbangkan semua aspek ini secara menyeluruh sebelum mengambil sebarang langkah balas. Insya-Allah, kita akan maklumkan hasilnya petang nanti,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, isu tarif AS dijangka turut dibincangkan dalam sesi dialog tertutup semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan
Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di sini minggu depan.
“Kami akan mengadakan dialog tertutup antara menteri-menteri kewangan dan perkara ini akan dimasukkan sebagai salah satu topik utama bagi menyelaraskan pendirian ASEAN.
“Jika diteliti kenyataan yang dikeluarkan oleh negara-negara ASEAN, reaksi mereka adalah konsisten iaitu buat masa ini, langkah balas tidak dipertimbangkan.
“Sebaliknya, ASEAN sedang berbincang dengan kerajaan AS melalui institusi dan pegawai berkaitan bagi memahami maksud sebenar tindakan ini, kemungkinan pengurangan kadar tarif dan kesan jangka panjangnya,” katanya pada Sesi Temu Bual Curtain Raiser sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan ASEAN 2025 di sini, semalam. – UTUSAN










