Anggota trafik berkorban tidak sambut Hari Raya

Anggota trafik berkorban tidak sambut Hari Raya

ANGGOTA trafik Ibu pejabat Polis Daerah Gua Musang yang bertugas melancarkan aliran lalu lintas di Bandar Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Ketika orang ramai enak menikmati juadah dan memakai baju raya bersama keluarga, anggota polis trafik bermandi keringat bagi memastikan kelancaran aliran lalu lintas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mereka bukan sahaja tidak dapat beraya bersama keluarga di kampung halaman, tetapi menghadapi cabaran keadaan cuaca panas dan hujan bersama rakan sepasukan.

Situasi itu turut dialami anggota dan pegawai Polis di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang bertugas ketika sambutan Aidilfitri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pegawai Penguatkuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang, Inspektor Azman A. Radzi berkata, sepanjang 10 tahun perkhidmatannya, tahun ini adalah kali kelapan dia tidak dapat pulang beraya bersama keluarganya di Sik, Kedah.

Katanya, sudah lapan tahun dia memakai uniform sebagai ‘baju raya’ pada hari raya pertama kerana terpaksa bertugas di pagi raya.

“Memang sebak di dalam hati apabila di pagi raya kebanyakan orang memakai baju raya, tetapi kami menyarung uniform untuk bertugas pada pagi raya.

ADS:D

“Biarpun terpaksa bertugas sebelum dan di pagi hari raya, saya gembira apabila perantau yang pulang ke kampung halaman masing-masing tiba dengan selamat dan meraikan Aidilfitri bersama keluarga masing-masing. Melihat wajah ceria mereka, pengorbanan saya yang tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga sangat berbaloi,” katanya.

Seorang lagi anggota, Koperal Abdul Rahman Rahim, 40, yang berasal dari Pekan, Pahang, berkata, bertugas pada hari raya tidak melunturkan semangat mereka memberi perkhidmatan terbaik untuk memastikan pengguna jalan raya dapat pulang ke kampung bertemu dengan keluarga tersayang dengan selamat.

Katanya, sepanjang bertugas ada pengguna jalan raya yang prihatin dan baik hati memberi kata-kata selamat bertugas serta selamat hari raya kepada kepada mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN