Tidak mudah jinakkan Ronaldo, hamster pemalu

Tidak mudah jinakkan Ronaldo, hamster pemalu

ronaldo lebih gemar berada di dalam sangkar dan tidak suka dipegang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nampak seperti jinak-jinak merpati, namun sebenarnya tidak.

Rupanya yang comel itu bukan bukan ‘tiket’ untuk dipegang dan dibelai sesuka hati.

Silap langkah, jari pasti akan menjadi mangsa gigitan.

Itu pengalaman dikongsikan Nur Kaseh Ibrahim mengenai hamster kesayangannya yang diberi nama Ronaldo.

Walaupun si bulus kecil kelihatan comel dengan ekor kecil, mata bersinar seperti manik dan gerak-gerinya yang lincah, namun ia sukar didekati walaupun oleh tuannya sendiri.

Kata Nur Kaseh, dia perlu membina kepercayaan Ronaldo terlebih dahulu sebelum cuba untuk memegang atau membelainya memandangkan dia baru sahaja mengambil alih peranan membela Ronaldo daripada rakan baiknya.

Ronaldo, pada awalnya adalah hamster milik rakannya yang kemudian diberikan kepadanya untuk dijaga ekoran rakannya itu mahu berpindah ke kampung halaman.

Sejak itu, dia mula belajar menjinakkan seekor hamster menggunakan pendekatan secara perlahan-lahan dan penuh kelembutan.

Hari demi hari, Nur Kaseh tidak pernah berputus asa untuk memberi makan kepada Ronaldo menggunakan tangan bagi membina kepercayaan haiwan tersebut terhadapnya.

Selepas beberapa minggu, Ronaldo akhirnya mula menunjukkan keberanian untuk mendekatinya.

“Namun, sehingga kini Ronaldo tidak mahu dipegang dan akan menggigit tangan jika dipaksa.

“Jadi, saya tidak mahu mendesak Ronaldo lagi, kerana serik mendapatkan suntikan bagi gigitan tikus,” katanya kepada Seri.

Katanya, memelihara seekor hamster bukanlah semudah seperti membela seekor kucing kerana kucing lebih manja dan mudah didekati.

“Setiap kali saya ingin membawanya keluar dari sangkar, Ronaldo akan sentiasa bersembunyi di dalam rumah kecil yang hanya boleh memuatkan badannya untuk masuk.

“Ronaldo juga akan mudah terkejut dan akan berlari ke bahagian penjuru sangkar apabila mengetahui saya cuba menyentuhnya,” ujarnya.

Penjagaan rapi si bulus

Memelihara si comel yang sejenis sub spesies tikus ini bukanlah sekadar hanya memberikan makan, minum dan tempat untuk bermain.

Hakikatnya, penjagaan hamster memerlukan disiplin dan ilmu. Nur Kaseh akan memastikan Ronaldo mengamalkan pemakanan seimbang seperti bijirin khas hamster, sayur-sayuran segar dan sesekali potongan kecil buah-buahan sebagai snek istimewa.

Berbekalkan nasihat rakannya yang lebih berpengalaman, Nur Kaseh akan memastikan kebersihan sangkar Ronaldo sentiasa terjaga memandangakn haiwan itu tidak mempunyai sudut khas untuk membuang najis.

Dia akan mencuci dan menggantikan habuk kayu secara berkala bagi memastikan tempat tinggal Ronaldo kekal bersih dan bebas bau hapak.

Sisi unik mencuit hati

Menceritakan sisi unik haiwan peliharaanya itu, kata Nur Kaseh, apabila malam menjelma, Ronaldo seperti mendapat tenaga luar biasa.

Ia akan berlari tanpa henti di atas roda larian dalam sangkarnya.

Bunyi roda berputar itu pada awalnya mengganggu tidur Nur Kaseh, tetapi lama-kelamaan menjadi irama pada waktu malam yang sudah menjadi kebiasaan.

Ronaldo juga suka menyimpan makanan termasuklah habuk kayu di bahagian pipinya, membuatkan Nur Kaseh terpaksa memeriksa mulutnya dengan kerap, bagi mengelakkan Ronaldo menelan benda yang bukan-bukan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×