Syawal satukan kembali anak, keluarga

Syawal satukan kembali anak, keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Syawal bukan sekadar bulan kemenangan selepas Ramadan, tetapi lebih daripada itu.

Ia membuka ruang untuk saling memaafkan, merapatkan kembali hubungan yang renggang dan mengukuhkan kasih sayang dalam keluarga.

Minggu ini ,saya kongsikan kisah Ain (bukan nama sebenar) seorang ibu yang sudah dua tahun menantikan kepulangan anak untuk beraya bersama.

Pada pertemuan bersama saya baru-baru ini, ibu kepada lima orang anak ini berkata, setiap kali Syawal menjelang, harapannya untuk melihat anak perempuan sulungnya pulang beraya bersama tidak pernah kesampaian.

Namun Syawal tahun ini berbeza.

Panggilan yang diterima daripada anak yang dirindui pada 15 Ramadan lalu membuatkan perasaannya bercampur-baur.

Ada rindu, harapan dan mungkin sedikit kemarahan yang bersisa akibat perselisihan lalu.

Kata Ain, sudah dua tahun Sarina (bukan nama sebenar) pergi meninggalkan keluarga tanpa sebab yang jelas.

Segala-galanya bermula selepas perselisihan faham berlaku antara dia dan suami, Salem (bukan nama sebenar) dengan anak perempuan mereka itu.

Sarina yang sudah menjadi tunangan orang telah beralih cinta kepada Hanif (bukan nama sebenar), seorang lelaki yang baru dikenali.

Keputusan Sarina untuk memutuskan hubungan dengan tunangnya, Azem (bukan nama sebenar) cukup membuatkan mereka terkilan.

“Saya dan suami menentang hubungan Sarina dengan lelaki itu bersebab. Sebagai orang tua, kami pasti mahukan yang terbaik untuknya,” ujarnya penuh emosi.

Kata Ain, semakin mereka menentang, semakin Sarina berkeras.

Akhirnya, selepas satu pertengkaran besar, Sarina keluar rumah.

Sejak itu , bayangnya tidak pernah lagi kelihatan .

“Sudah dua tahun Sarina tidak pulang beraya. Saya dan suami cuba mencarinya, namun Sarina sentiasa mengelak. Jangankan untuk bertemu, menerima panggilan kami pun jauh sekali,” kata Ain.

RAYA SURAM TANPA ANAK

Mengimbas kenangan dua tahun beraya tanpa Sarina, hatinya terasa kosong, walaupun rumah dipenuhi dengan anak-anak yang lain.

Wajah Sarina sering terbayang di matanya. Juadah kegemaran Sarina iaitu ketupat dan rendang tetap disediakan setiap tahun.

Menurut Ain, sepanjang tempoh dua tahun itu juga mereka cuba menghubungi Sarina, namun panggilan langsung tidak dijawab.

“Maklumat yang kami dapat melalui kawan-kawannya, Sarina telah bertukar tempat kerja,” ujarnya.

Tahun demi tahun berlalu, namun harapan Ain untuk anaknya kembali pulang tidak pernah pudar.

Setiap malam, dia tidak pernah lelah berdoa agar Sarina tergerak hati untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Sehinggalah pada penghujung Disember tahun lalu, Sarina pulang ke rumah dan memberitahu tentang hasratnya untuk berkahwin dengan Hanif.

“Sejujurnya, perasaan saya ketika itu bercampur-baur. Gembira dengan kepulangan Sarina, tetapi pada masa sama, sedih kerana Sarina masih tetap memilih lelaki tersebut,” cerita Ain.

Enggan terus membiarkan hubungan menjadi keruh, Ain dan suami akur.

Satu majlis pernikahan diadakan pada penghujung Januari lalu, tanpa mengundang sesiapa baik saudara-mara mahupun jiran tetangga.

Kata Ain, sebaik majlis pernikahan selesai, masing-masing pulang membawa sesuatu yang terbuku di hati.

Hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan.

Berkat doa seorang ibu, pada ke 16 Ramadan lalu, Sarina pulang mengejut ke rumah tanpa kehadiran menantu bersama.

Ketika itu ada kata-kata yang tidak terucap, ada rasa yang terpendam.

“Sejujurnya, ketika itu hanya Allah yang tahu perasaan saya. Saya sudah lama memaafkan Sarina. Kami sebagai ibu bapa juga ada salah silapnya, mungkin terlalu keras dengannya sebelumnya.

“Apa yang saya harapkan, Syawal kali ini kami dapat berkumpul bersama. Walaupun bukan seperti dahulu, sekurang-kurangnya keluarga kami bersatu semula,” ujarnya penuh harapan.

Tahun ini, Ain tidak lagi mahu mengenangkan sengketa yang menjarakkan hubungan ibu dan anak..

Semoga Syawal tahun ini, doa seorang ibu membawa Sarina pulang termakbul.

Menurut Ain, di sebalik ketegasan mereka selama ini, ada hati yang penuh kasih sayang.

“Saya hanya mahu Sarina bahagia. Jika pilihan itu membuatnya bahagia, saya akan turut gembira.

“Tiada ibu bapa yang mahu melihat masa depan anak mereka hancur,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Syawal tahun ini diharap menjadi titik permulaan baru untuk kita menyemarak dan menyuburkan kembali ikatan yang terputus.

Ini bukan sahaja kepada Ain seisi keluarga, tetapi juga kita semua.

Ini bertepatan dengan dalil al-Quran yang bermaksud:` Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara maka damaikanlah antara kedua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh Rahmat.” (Surah al-Hujurat ayat 10).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×