‘Suasana seperti gempa bumi, saya hanya fikir mati’

‘Suasana seperti gempa bumi, saya hanya fikir mati’

LOO Yoke Chen menunjukkan rumahnya yang musnah semuanya akibat kejadian letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Selangor. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Situasi ketika itu amat huru-hara seperti berlaku gempa bumi. Saya hanya fikir mati ketika melarikan diri ke arah hutan.”

Itu detik mencemaskan seorang mangsa insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights ketika ditemui Utusan Malaysia di Hospital Putrajaya, di sini semalam.

Menurut Norshatirah Salleh, 30, ketika kejadian, dia sedang tidur dan berada seorang diri di rumah dan terdengar ada benda jatuh di atas bumbung yang difikirkan berlaku bencana puting beliung.

“Bila terdengar jeritan jiran cakap ada api dan saya tidak fikir apa-apa serta terus lari keluar dan sempat membawa telefon serta hanya memakai tuala.

“Bahang api kebakaran itu sangat panas hingga belakang badan dan tangan saya melecur teruk. Sejauh satu kilometer saya lari dan kaki juga melecur kerana selipar terlucut sehingga saya jumpa orang kampung datang selamatkan saya,” katanya yang tinggal di situ sejak lima tahun lalu.

Namun dia bersyukur, suami, Mohd. Ibrahim Hanif Saidun, 34, dan dua anaknya berada di kampung di Kedah ketika kejadian bagi sambutan Aidilfitri.

“Kalaulah anak-anak ada bersama, saya tak dapat gambarkan bagaimana nak dukung bawa lari mereka,” katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Hospital Cyberjaya.

Seorang lagi mangsa, Loo Yoke Chen, 46, menyifatkan situasi seperti medan perang apabila batu-batu dan serpihan tanah terbang di kawasan rumah.

Dia bersama anak, Ashley Loo Ann Ling, 17, serta ibu, Khoo Poh Lian, 77, dan bapa, Loo Fook Foh, 78, terus melarikan diri kerana rumah  paling dekat di kawasan letupan.

“Rumah saya bergegar ketika saya tengah tidur, saya ingat berlaku gempa bumi. Saya lihat melalui tingkap debu dan batu berterbangan.

“Saya tak fikir panjang, terus keluar rumah sehelai sepinggang kerana risau keselamatan ibu bapa. Mujurlah ada jiran-jiran membantu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×