Che Epal beraya dengan 30 pasang baju

Che Epal beraya dengan 30 pasang baju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebaran kali ini dirasakan amat berbeza bagi Cik Epal. Tahun ini, kali pertama beliau beraya dengan gelaran ibu tunggal selepas rumah tangga yang dibina selama 10 tahun berakhir sekitar penghujung tahun lalu.

Namun, daripada meratapi takdir yang sudah tertulis itu, beliau bangkit mengembangkan potensi diri bagi melebarkan lagi sayapnya.

Beliau semakin aktif sebagai pempengaruh di media sosial dengan tagline ‘mendonia’.

“Mendonia itu maknanya terbang tinggi, melangkah lebih jauh,” katanya saat ditanya mengenai maksud di sebalik perkataan itu.

Malah, perkataan itu menjadi sohor kini di media sosial sehingga beliau diangkat menjadi duta jenama tekstil terbesar, Jakel dengan tema ‘Raya Mendonia’.

Wanita ini juga semakin laris menjalankan kolaborasi dengan pelbagai jenama besar, malah baru sahaja melancarkan lagu sulungnya berjudul Cukup Sampai Sini yang memperkasa wanita.

Nampaknya, di sebalik kemelut rumah tangga yang dihadapi sebelum ini, wanita ini terus cekal.

“Tahun ini memang berbezalah bagi saya kerana tidak lagi beraya bersama suami. Namun, saya berharap dapat beraya bersama anak-anak,” katanya sebak sambil menjelaskan beliau kini dalam proses menyelesaikan isu hak jagaan anak-anak bersama bekas suami.

Naluri keibuannya tersentuh tatkala berbicara soal anak kerana momen yang paling ditunggu-tunggu setiap tahun adalah menyiapkan kedua anaknya, Han,10, dan Yuki,6, di pagi raya.

KUETIAU WAGYU JUADAH ISTIMEWA
Apa pun yang berlaku, hidup perlu diteruskan. Beliau mencuba mencari hikmah yang terselindung di sebalik ujian yang melanda.

“Saya bersyukur dengan apa yang berlaku kerana jika tidak, saya tidak tahu saya ada potensi lain yang boleh dikembangkan.

“Bagi saya, bersabarlah dengan setiap ujian yang dihadapi. Sentiasa berbuat baik dengan orang kerana buat baik dibalas baik,” ujarnya.

Biarpun terasa berbeza, Syawal tahun ini dirai penuh makna bersama ibu bapa dan keluarga tersayang yang setia berada di sisi selama ini.

“Keluarga yang banyak memberi sokongan moral selama ini, begitu juga dengan rakan-rakan.

“Tahun ini, saya akan meraikan Aidilfitri bersama keluarga di Selangor. Persiapan raya semua sudah lengkap. Baju raya tahun ini ada 30 pasang,” katanya sambil tertawa.

Menyentuh mengenai juadah yang paling dinanti-nantikan di pagi raya, kata anak sulung daripada tiga beradik ini, beliau gemar menyajikan air tangannya kepada tetamu yang berkunjung.

Kuetiau wagyu adalah juadah utama yang akan dihidangkan setiap kali raya.

“Saya suka memasak untuk tetamu yang datang. Kuetiau wagyu adalah juadah yang paling ramai minta untuk saya masak setiap kali tibanya raya.

“Kuetiau ini adalah resipi saya sendiri. Selalunya saya campak-campak sahaja. Saya pun memang suka bereksperimen dengan bahan-bahan untuk mencipta resipi baharu,” katanya.

Sejak bergelar blogger pada 2008 iaitu ketika usianya baru sahaja 17 tahun, wanita ini memang sudah terkenal dengan perkongsian resipi-resipi menarik.

Sehingga kini, resipinya sering menjadi ikutan para wanita yang gemarkan resipi ringkas namun enak.

Kata Cik Epal, beliau memang gemar memasak, sementelah sejak usia 10 tahun beliau sudah masuk ke dapur untuk membantu ibunya menyediakan juadah keluarga.

Sejak itu, beliau terus mencipta pelbagai resipi tersendiri secara kreatif. Antara resipinya yang terkenal dan menjadi ikutan adalah ayam masak bali dan bihun goreng Singapura.

JADI INSPIRASI WANITA
Berpeluang bertentang mata dengan figura ini baru-baru ini membuktikan apa yang saya lihat di Instagram, begitulah dirinya yang sebenar.

Dengan kata lain, beliau menjadi diri sendiri sama ada di depan atau luar lensa kamera.

Beliau juga seorang yang sempoi dan merendah diri.

Walaupun sering berkongsi gaya hidup mewah, namun wanita ini tidak pernah lokek berkongsi harga barangan yang digayakan daripada mahal hinggalah murah.

Disebabkan itu, beliau menjadi ikutan dan inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana.

“Saya rasa (jadi ikutan) sebab saya menjadi diri sendiri. Berkongsi mengenai kehidupan sebenar sebagai seorang isteri (ketika itu) dan seorang ibu.

“Saya suka berkongsi pengalaman saya contohnya, ke mana saya melancong, apa yang dimasak, dibeli dan dipakai.

“Saya juga suka berinteraksi dengan pengikut, apa yang mereka tanya saya akan jawab,” katanya.

Luaskan empayar
Bergelar pengasas produk penjagaan wanita iaitu Makaji dan FairFit sejak enam tahun lalu banyak mengajarnya selok-belok perniagaan.

Meluaskan lagi empayarnya, beliau kini mengambil langkah berani mengintai peluang dalam bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Restoran Pizza Mendonia yang bakal dibuka selepas Hari Raya Aidilfitri nanti adalah percubaan sulungnya dalam bidang F&B berskala besar.

“Sebelum ini ada buat jualan makanan tetapi kecil-kecilan sahaja di rumah. Ini pertama kali saya hendak buka restoran makanan.

“Harapnya akan mendapat sambutan yang memberangsangkan kerana saya dan pasukan bekerja sebaik mungkin untuk menghidangkan piza yang terbaik kepada pelanggan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai perancangan masa depan, beliau kini memberikan fokus sepenuhnya kepada perniagaan.

Justeru, dirinya masih belum terfikir untuk kembali berumahtangga.

“Saya tidak trauma. Saya suka alam perkahwinan kerana bagi saya ia tiket mudah untuk ke syurga.

“Setiap layanan terhadap suami dikira sebagai pahala. Cuma buat masa sekarang saya masih belum terfikir ke arah itu,” katanya sambil mengakui dirinya masih belum berpunya.

Menutup bicara, kata Cik Epal, setiap wanita perlu ada sumber kewangan sendiri tidak kira bagi yang sudah berkahwin atau belum.

Ia bagi memastikan wanita dapat berdikari sekiranya terjadi perkara-perkara yang tidak diingini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×