ISU perkauman dan sensitiviti agama bukanlah perkara baharu di Malaysia, tetapi apa yang semakin membimbangkan ialah layanan berbeza dalam tindakan pihak berkuasa terhadap kes-kes yang melibatkan kaum dan agama.
Kes seperti KK Mart yang menjual stoking kalimah Allah, kontroversi melibatkan Cecilia Yeap, serta pelbagai insiden penghinaan terhadap Islam sering kali diselesaikan dengan sekadar permohonan maaf sementara Cecilia hanya dikenakan kompuan RM10,000 setelah didesak rakyat.
Namun, dalam kes baru-baru ini membabitkan tiga penyampai radio ERA,, tindakan tegas diambil sehingga perlu memohon maaf kepada Presiden Majlis Kuil Hindu di Batu Caves, diheret ke Bukit Aman dan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) disamping digantung kerja.
Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membawa harapan untuk menyatukan rakyat yang semakin terpecah akibat sentimen perkauman dan keagamaan yang dimainkan pelbagai pihak.
Namun, apabila wujud layanan tidak seimbang dalam tindakan terhadap kes-kes sensitif seperti ini, ia hanya menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dan undang-undang untuk berlaku adil.
Kerajaan yang berfungsi dengan baik sepatutnya memastikan undang-undang dikuatkuasakan secara saksama tanpa mengira latar belakang agama dan kaum seseorang individu atau organisasi. Tiada mana-mana pihak yang sepatutnya mendapat keistimewaan atau kelonggaran hanya kerana ia melibatkan agama atau kaum tertentu.
Jika kerajaan benar-benar serius mahu menghapuskan perpecahan dan memperkukuhkan perpaduan, tindakan perlu diambil secara adil dalam setiap kes. Ini termasuk memastikan sesiapa yang menghina mana-mana agama dikenakan tindakan setimpal, tanpa mengira bangsa atau kedudukan mereka dalam masyarakat.
Ketelusan dalam tindakan juga perlu bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara tidak terhakis.
Dalam membawa Malaysia sebagai sebuah negara maju yang lebih adil, Malaysia sedang berhadapan dengan cabaran besar dalam menentukan hala tujunya sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Kes-kes seperti ini membuktikan masih terdapat jurang besar dalam pemahaman dan penerapan keadilan sosial.
Jika dwistandard, ia hanya akan merosakkan hubungan antara kaum serta menanam rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Malaysia perlu bergerak ke arah menjadi sebuah negara yang benar-benar menghormati semua agama dan kaum secara adil. Ini bermakna undang-undang perlu dikuatkuasakan tanpa memilih bulu, dan setiap kes yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama harus ditangani dengan tindakan yang setimpal.
Rukun Negara yang menjadi asas kepada keharmonian Malaysia, jelas menekankan kepentingan kesopanan dan kesusilaan, kedaulatan undang-undang serta kesetiaan kepada negara. Namun, apabila undang-undang tidak dikuatkuasakan secara adil dan layanan berat sebelah dalam isu kaum dan agama semakin ketara, prinsip ini semakin tercalar.
Parti-parti politik yang memainkan sentimen agama dan kaum berkemungkinan besar menggunakan isu-isu seperti ini sebagai bahan kempen untuk menarik sokongan rakyat. Jika kerajaan sedia ada tidak mahu kehilangan kepercayaan rakyat, ia perlu mengambil langkah yang lebih jelas dan adil dalam menangani kes-kes berkaitan perkauman dan agama.
Menjelang PRU16, isu perkauman dijangka menjadi antara faktor utama yang akan mempengaruhi pola pengundian. Jika sentimen perkauman terus dimainkan oleh pihak tertentu, ia boleh mencetuskan perpecahan yang lebih dalam dan menyukarkan pembentukan kerajaan stabil pada masa hadapan.
Kegagalan menangani isu perkauman boleh menyebabkan ketidakstabilan politik yang akhirnya memberi kesan kepada pembangunan negara. Oleh itu, setiap pihak, termasuk kerajaan, pembangkang dan masyarakat, perlu bekerjasama dalam memastikan kesejahteraan Malaysia terus terpelihara.
Justeru, peranan media dalam membingkai sesuatu isu tidak boleh diketepikan. Media sering menjadi alat utama dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap sesuatu insiden, sama ada ia bersifat kontroversial atau tidak. Dalam banyak kes, pembingkaian media terhadap isu-isu yang menyentuh kaum dan agama jelas menunjukkan perbezaan sikap dan layanan. –UTUSAN
SHAFEZAH ABDUL WAHAB
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka










