Caj transaksi e-pembayaran mungkin dikenakan - pakar

Caj transaksi e-pembayaran mungkin dikenakan – pakar

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjual dan pedagang berkemungkinan dikenakan caj bagi transaksi e-pembayaran pada masa hadapan, susulan platform e-pembayaran yang mencapai pertumbuhan sebanyak 17 peratus, mencecah RM698.1 bilion tahun lalu.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, caj transaksi tersebut bagaimanapun dijangka tidak menjejaskan pengguna.

Ujarnya, ia perlu dilihat dari aspek keselamatan siber yang mesti seiring dengan peningkatan teknologi dan keperluan melindungi data pengguna dan penjual supaya tidak mudah digodam, misalnya melalui kod QR yang selalu dipamerkan penjual.

“Sebagai contoh, kod QR yang dicetak mempunyai ciri-ciri keselamatan yang statik berbanding kod QR dinamik yang berubah-ubah setiap minit. Ciri-ciri keselamatan ini memerlukan kos penyelenggaran yang lebih tinggi. 

“Para peniaga pasti tidak keberatan membayar sedikit peratusan dari jualan mereka, mungkin antara 0.5 peratus ke 1.0 peratus sahaja untuk e-pembayaran ini di masa depan. 

“Pada masa ini penjualan melalui kad kredit, sudah pun dikenakan caj satu ke dua peratus oleh syarikat kad kredit kepada para peniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, pertumbuhan e-pembayaran memberi petunjuk ekonomi negara mengadaptasi teknologi pada kadar yang begitu baik, iaitu pada hampir semua segmen ekonomi. 

“Pendigitalan negara berlaku dengan kadar yang lebih pantas dari jangkaan, kerana kolaborasi yang lancar antara industri dan agensi kerajaan amatlah penting terutama memastikan sasaran pertumbuhan ekonomi digital. 

“Ia juga harus dilihat dari aspek Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), yang telah menggariskan langkah strategik yang diperlukan untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan peneraju dalam ekonomi digital,” ujarnya.

Sebaliknya, penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, caj transaksi tidak akan dikenakan dalam e-pembayaran pada masa depan.

Beliau berkata, Malaysia berada di kedudukan kedua tertinggi penggunaan kod QR di dunia, selepas China yang menunjukkan pembangunan pesat dalam pembayaran melalui digital di negara ini.

“Ini kerana kod QR tidak melibatkan apa-apa kos kepada pengguna asalkan mereka mempunyai simpanan di dalam akaun bank mereka, maka boleh membuat transaksi.

“Saya tidak rasa akan ada caj transaksi untuk e-pembayaran pada masa depan kerana kita mengguna pakai sistem daripada China dan sebahagian besar pelancongan China juga menggunakan QR untuk transaksi di negara ini. Oleh itu tidak perlu risau.

“Apa yang perlu dirisaukan adalah berkaitan keselamatan siber atau scam dan sebagainya. Buat masa ini tidak ada tetapi perlu ditingkatkan keselamatan siber,” katanya.

Isnin lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Laporan Tahunan 2024 mendedahkan, e-pembayaran mencatatkan peningkatan pada 2024, disokong oleh kerancakan aktiviti penggunaan, dengan jumlah nilai transaksi e-pembayaran runcit terpilih meningkat sebanyak 17 peratus, mencecah RM698.1 bilion.

Transaksi keseluruhan e-pembayaran meningkat sebanyak 28 peratus kepada 14.7 bilion transaksi tahun lalu berbanding 11.5 billion transaksi pada tahun sebelumnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×