KUALA LUMPUR: Sistem pengurusan lapangan terbang di negara ini yang di bawah kendalian Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) telah digodam dengan penggodam menuntut pampasan sebanyak AS$10 juta (RM44.36 juta).
Kejadian yang dipercayai berlaku pada Ahad lalu itu didedahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Bagaimanapun, Anwar memaklumkan, permintaan penggodam itu ditolak dan kerajaan sama sekali tidak akan tunduk kepada ugutan penjenayah.
Beliau berkata, walaupun ia mengundang risiko, namun kete-gasan kerajaan menolak tuntutan itu membuktikan keperluan untuk meningkatkan keupayaan pihak berkuasa termasuk sektor perbankan.
Tegasnya, Malaysia tidak mungkin akan selamat jika pimpinan dan sistemnya mengizinkan negara tunduk kepada tuntutan penjenayah dan pengkhianat dalam atau luar negara.
“Ada risiko? Ya, dan kita harus hebahkan kepada rakyat (tetapi) ini juga memerlukan kecanggihan kita (seperti) dana tambahan kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia), bank dan semua untuk persiapan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), semalam.
Anwar berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak MAHB berhubung ugutan penggodam tersebut yang agak berat kepada MAHB, tetapi dengan tegas menolaknya.
MAHB dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berkata, serangan itu tidak menjejaskan operasi lapangan terbang dan siasatan menyeluruh segera dijalankan bagi menilai punca dan tahap insiden berkenaan.
Ketua Eksekutif NACSA, Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, mereka memantau perkembangan dengan teliti sejak menerima laporan MAHB.
“Insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan operasi di KLIA. Kami akan terus memantau dan memberikan sokongan kepada MAHB,” katanya.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd. Izani Ghani memberi jaminan bahawa keselamatan dan kelancaran operasi lapangan terbang kekal menjadi keutamaan.
“Kami bekerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan semua operasi penerbangan dan pemprosesan penumpang berjalan seperti biasa,” katanya.
Tambahnya, pasukan teknikal dan operasi juga mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi infrastruktur lapangan terbang dan memastikan pengalaman penumpang tidak terganggu. – UTUSAN








