GEORGE TOWN: Beberapa aktivis kemanusiaan dan pertubuhan hak asasi hari ini menyeru kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil langkah lebih tegas dalam menyokong perjuangan Palestin.
Pengarah Citizens International, Mohideen Abdul Kader berkata, antara tindakan itu termasuk memutuskan hubungan dengan entiti pro Israel, mengenakan sekatan terhadap syarikat yang berurusan dengan Israel serta menerajui inisiatif ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menangani serangan Zionis.
“Kita tidak boleh hanya mengutuk secara lisan. Jadi, Malaysia mesti menyatakan sokongan penuh kepada Palestin dan memperluaskan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza,” katanya dalam sidang akhbar sempena Hari Al-Quds Sedunia 2025 di sini, semalam.

Menurut Mohideen, Israel kini semakin berani melanggar gencatan senjata di Gaza dengan sokongan ketenteraan dan politik dari Amerika Syarikat (AS) sehingga menyebabkan ribuan rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara dan darat.
“Serangan ke atas hospital, petugas kemanusiaan dan orang awam adalah jenayah perang tahap tertinggi. Namun, dunia terus berdiam diri sementara kuasa Barat pula membekalkan lebih banyak senjata kepada rejim Zionis,” ujar beliau.
Jelasnya, di Gaza, keadaan semakin kritikal apabila kepungan Israel menghalang bekalan makanan, air, ubat-ubatan, dan bahan api, menyebabkan lebih 90 peratus penduduk kehilangan tempat tinggal dan menghadapi kebuluran.
“Ini adalah genosid yang berterusan. Tentera Israel menyasarkan wartawan, doktor, dan konvoi bantuan, melanggar undang-undang antarabangsa dengan kekebalan penuh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa kerajaan Mesir supaya membatalkan Perjanjian Damai Camp David dan membuka sempadan Rafah untuk bantuan kemanusiaan serta sokongan ketenteraan kepada Gaza.
“Mesir tidak boleh menjadi benteng Israel dalam mengepung Gaza, tetapi mesti berdiri bersama Palestin. Selain itu, negara-negara Arab turut diseru untuk menarik pelaburan mereka dari AS, yang secara langsung membiayai dan membekalkan senjata kepada Israel bagi meneruskan serangan terhadap rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN











