Keluarga mahu tuntut keadilan - Utusan Malaysia

Keluarga mahu tuntut keadilan

Keadaan kereta dipandu Mohd. Faizal Ismail selepas ditimpa takal kren dekat Maran, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Keluarga Allahyarham Mohd. Faizal Ismail, 38, yang maut ditimpa takal kren di Kilometer 91 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini semalam mahu menuntut keadilan di atas kejadian yang menimpa mangsa akibat kelalaian pihak lain.

Adik mangsa, Zamzurina Ismail berkata, kejadian itu menyebabkan isteri mangsa bersama lima anak berumur dua hingga 13 tahun hilang tempat bergantung dalam sekelip mata.

Katanya, isteri mangsa yang tidak bekerja masih trauma dan bersedih apatah lagi melihat empat daripada lima anak mangsa yang masih tidak mengerti apa akan berlaku kepada bapanya.

“Memang patut dituntut keadilan kerana ia berlaku di­sebabkan kecuaian pihak lain. Keadilan demi anak-anak mang­sa yang masih kecil,” katanya ketika ditemui di Jengka 6 di sini hari ini.

Tambah Zamzurina, beliau berharap pihak polis dapat mengesan individu terbabit dalam kejadian itu demi ke­a­­di­­­­­­­l­­­­an kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, pada masa ini mereka masih belum membincangkan mengenai tindakan seterusnya memandangkan isteri mangsa masih trauma.

Dalam pada itu, beliau berkata, Mohd. Faizal yang rapat de­ngan ibunya begitu te­ruja untuk ke Johor Bahru bagi mengikuti kursus berkaitan dengan silibus pengajaran sekolah memandu.

Jelasnya, ibunya, Fatimah Hussain, 72, meminta abangnya­ itu membawanya ke rumah mangsa di Jengka bagi membantu Mohd. Faizal mengemas barangan untuk kursus terbabit.

“Semasa kejadian, abang dalam perjalanan menghantar ibu ke Jengka 6 sebelum dija­dual meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.

“Mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jengka 6 pada pukul 7 pagi tadi dan ibu masih tidak sedarkan diri di hospital,” ujarnya.

Dalam kejadian pukul 9.45 malam semalam, Mohd. Faizal yang tinggal di Temerloh maut setelah ditimpa takal kren itu ketika dalam perjalanan ke Jengka 6 bagi menghantar ibunya.

Kejadian tragis itu menyaksikan bumbung dan cermin hadapan kereta jenis Perodua Axia dipandu mangsa pecah manakala bonet hadapan kemek akibat dihempap besi takal berkenaan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu­nya cedera parah di kepala,” kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×