PETALING JAYA: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) didakwa mengamalkan dwi standard dalam melaksanakan undang-undang antarabangsa berkaitan jenayah perang apabila gagal menahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ekoran serangan terhadap Gaza yang berlangsung lebih setahun.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, sebaliknya mahkamah antarabangsa itu dilihat lebih pantas menahan bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte namun gagal melakukan perkara sama ke atas Netanyahu.
Katanya, tindakan pantas ICC terhadap Duterte menunjukkan keupayaan mahkamah itu untuk melaksanakan waran tangkap di peringkat antarabangsa.
“Namun, kegagalan melaksanakan tindakan yang sama terhadap Netanyahu menimbulkan persoalan berhubung ketegasan dan keadilan ICC.
“Jika ICC boleh menggunakan saluran Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menahan Duterte di sebuah negara berdaulat dan memindahkannya ke The Hague, mungkin pendekatan yang lebih kurang sama boleh digunakan untuk menangkap Netanyahu yang turut dikenakan waran tangkap atas dakwaan jenayah perang di Gaza,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 21 November 2025, ICC yang berpusat di The Hague, Belanda mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza antara 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024 serta mengeluarkan waran tangkap terhadap komander Hamas, Mohamad Deif.
Namun sehingga kini, tiada tindakan penahanan diambil terhadap Netanyahu, sekali gus mencetuskan kritikan terhadap pelaksanaan undang-undang antarabangsa oleh ICC.
Duterte kini berada dalam tahanan ICC dan dijadualkan hadir ke mahkamah antarabangsa itu pada 23 September ini untuk mengesahkan pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan perang ke atas dadah yang berlaku dari 1 November 2011 hingga 16 Mac 2019.
Azmi menegaskan, Malaysia dan negara-negara lain harus mendesak ICC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tidak tunduk kepada tekanan geopolitik serta menjunjung prinsip keadilan secara konsisten.
“Malaysia harus terus memperkuat tekanan terhadap ICC dan PBB agar prinsip keadilan tidak menjadi mainan politik. Dunia tidak boleh terus berdiam diri apabila undang-undang antarabangsa dilaksanakan secara pilih kasih,” ujarnya.
Azmi berkata, tindakan tegas bukan semata-mata oleh soal politik, tetapi soal keadilan.
“Keadilan tidak boleh menjadi alat kepada kuasa-kuasa besar dunia. Jika Duterte boleh dikenakan tindakan dalam masa singkat, maka Netanyahu juga wajar berdepan proses yang sama,” katanya. – UTUSAN











