Setiap kali Ramadan ramai ibu bapa berkongsi kenangan kisah kemeriahan berpuasa di kampung. Budaya bertukar-tukar juadah untuk berbuka puasa antara yang paling ditunggu-tunggu.
Sifirnya, mudah. Satu rumah buat satu menu. Selepas itu hantar ke rumah jiran dan jiran membalas dengan menu mereka pula.
Contohnya, rumah ‘A’ buat pengat pisang, rumah ‘B’ masak laksa dan rumah ‘C’ buat nasi ambeng, maka petang itu meriahlah atas meja dengan ketiga-tiga hidangan.
Demikianlah suburnya budaya yang diambil berteraskan daripada sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun. (Riwayat Al-Tirmidzi)
Teruja untuk menghidupkan semula budaya itu, Sarah Yazmien Mohd. Azhar, 24, mula merencana program bersama tiga adiknya. Ia diberi nama Kongsi Rezeki Ramadan. Menariknya, ia dilakukan di taman perumahan Fasa 1 Saujana Utama, Sungai Buloh.
Sarah Yazmien berkata, program pada hujung minggu itu ibarat projek keluarga kerana dari segi persediaan bahan mentah pada waktu malam dilakukan oleh ayah, Mohd. Azhar Abdullah Sani dan ibu, Azura Abd. Mois.
Katanya, kerja-kerja memasak bahan utama dimulakan selepas zuhur hingga waktu asar manakala pembungkusan dan pengagihan makanan bermula selepas asar sehingga selesai.
“Kami menyediakan menu ringkas tetapi yang mengimbau memori. Setakat ini menu seperti lempeng cecah sambal sardin, ubi kayu rebus bersama sambal tumis dan ikan masin.
“Tidak ketinggalan manisan seperti sago gula Melaka dan cendol. Alhamdulillah, sambutan jiran-jiran sangat memberangsangkan. Biasanya pukul 6 petang semuanya sajian habis diagihkan,” katanya.
Atas inisiatif sendiri, keluarga ini membuka meja dan khemah di hadapan rumah mereka untuk memudahkan jiran-jiran mengambil juadah secara pandu lalu. Sebanyak kira-kira 200 bungkus dapat disediakan dengan bajet antara RM250 ke RM400.
Sementara itu, Mohd. Azhar yang juga cef pastri di sebuah hotel di Subang Jaya merakamkan penghargaan kepada mereka yang turut sama menyumbang sama ada dalam bentuk wang tunai atau juadah masing-masing untuk program tersebut.
“Besarlah harapan saya agar generasi anak-anak kita dapat menyambung budaya berkongsi dan bertukar juadah sepanjang Ramadan seperti yang diamalkan generasi terdahulu.
“Tujuannya supaya agar ukhwah sesama jiran tetangga terus subur. Menu itu pula tidak perlu sesuatu yang mewah cukuplah sekadar seadanya,” kata beliau.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Saujana Utama 1 (SUtRA1), Wan Ismail Hashim mengalu-alukan inisiatif tersebut yang disifatkan boleh memupuk semangat bergotong-royong yang semakin terhakis dalam masyakarat.
“Insya-Allah pada tahun akan datang, SUtRA1 akan membuat usaha sama dengan penganjur untuk menerus dan menambah baik program Kongsi Rezeki Ramadan ini,” katanya.










