JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di negeri ini semakin berkurangan apabila setakat pukul 8 pagi ini, hanya 3,893 mangsa masih ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka.
Jumlah itu merupakan pengurangan berbanding seramai 4,597 mangsa yang direkodkan pada pukul 4 petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, lima daerah masih terjejas akibat banjir ketika ini.
“Johor Bahru kekal daerah paling terjejas dengan seramai 2,409 mangsa ditempatkan di sembilan PPS, diikuti Pontian (552 mangsa, tujuh PPS); Kluang (487 mangsa, empat PPS); Batu Pahat (358 mangsa, dua PPS) serta Kota Tinggi (87 mangsa, dua PPS).
“Tiada sebarang amaran ribut petir atau hujan lebat berterusan yang dikeluarkan Jabatan Metereologi untuk seluruh Johor, hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Azmi, hanya Sungai Kahang di Kluang masih menunjukkan tahap paras air bahaya dengan bacaan 14.60 meter, melepasi paras bahaya 14.50 meter.
“Tiada mana-mana jalan di negeri ini yang ditutup akibat kejadian banjir buat masa ini,” jelasnya lanjut. – UTUSAN











