PETALING JAYA: Kenaikan kos sara hidup menyebabkan ramai yang terpaksa mengehadkan perbelanjaan untuk Hari Raya Aidilfitri termasuk mengurangkan pemberian duit raya.
Malah bagi menjimatkan perbelanjaan, mereka juga tidak pulang ke kampung kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi.
Seorang pekerja pembersihan di sebuah sekolah, Marni Amir Hamzah, 37, berkata, tahun lalu dia memberi duit raya RM10 kepada setiap seorang anak saudaranya, namun pada Aidilfitri akan datang, dia hanya mampu menyediakan duit raya kira-kira RM5.
Katanya, tekanan kewangan juga menyebabkan dia dan keluarga tidak pulang ke kampung halaman di Semporna bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama saudara-mara di sana.
“Tahun ini tidak balik Semporna, raya di Keningau sahaja sebab kalau mahu beraya di sana perlu belanja lebih seperti kos pengangkutan dan juadah raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi peniaga kasut, Roslan Rosliha, 35, dia sangat terkesan dengan keadaan ekonomi sekarang apabila perniagaan fizikal semakin tidak mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan.
Katanya, ketika ini purata dia hanya merekodkan jualan sebanyak RM500 sehari, berbanding sekitar RM1,000 pada tahun-tahun sebelumnya.
“Beli baju raya anak pun jimat-jimat sebab pakai pun sekali sahaja. Begitu juga duit raya, kali ini saya sediakan RM2 seorang berbanding tahun lalu RM5,” katanya yang berniaga melalui gerai yang dibuka di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Keadaan sama dialami oleh peniaga pakaian tradisional dari Negeri Sembilan, Firdaus Muhammad, 39, yang mengehadkan peruntukan untuk persiapan raya dan duit raya untuk ibu bapa dan anak-anak buahnya.
“Saya lebih berhati-hati mengawal kewangan dengan membeli barangan lebih awal, supaya dapat fokus pada barangan basah dan duit raya. Duit raya untuk ibu bapa saya sediakan RM500 dan anak-anak buah dalam RM10 hingga RM20 seorang, bergantung pada usia mereka,” katanya.
Peniaga, Megat, 29, dari Terengganu, pula dia tidak menyediakan duit raya untuk anak-anak buahnya, kerana lebih fokus kepada belanja persediaan menyambut Hari Raya
“Saya perlu kawal perbelanjaan, beli apa yang perlu sahaja. Kos sara hidup yang tinggi memaksa saya lebih berhati-hati dalam berbelanja.
“Dulu saya tidak balik sebab kos perjalanan tinggi dan saya perlu utamakan perbelanjaan lain. Tahun ini, saya nekad untuk balik walaupun perlu berjimat dalam perbelanjaan raya,” katanya.
Pelajar sarjana di sebuah institusi pengajian tinggi awam, Syarein Nazriq Mariam Shahrulnizam, 25, dia tidak memperuntukkan duit raya buat anak-anak saudaranya.
“Beli baju raya pun sudah bajet dalam RM150 hingga RM200 maksimum,” katanya yang bekerja sambilan bagi menampung kos hidup. – UTUSAN










