PETALING JAYA: Bagi memastikan semua peminat-peminat Harimau Malaya dapat melihat aksi pemain skuad kebangsaan dengan lebih dekat, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia membuat perubahan venue latihan dan perlawanan antarabangsa di beberapa negeri.
Perkara itu bukan saja memberi peluang kepada penyokong, malah ia disifatkan sebagai agenda perpaduan bagi merapatkan semua peminat tidak kira bangsa dan agama.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, perkara itu bukan satu perkara mustahil dan beliau mengalu-alukan cadangan berkenaan.
Katanya, kekangan yang dihadapi ketika ini untuk membawa skuad Harimau Malaya mengelilingi satu Malaysia adalah venue, yang mana tempat itu perlu memenuhi kriteria ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk diadakan perlawanan bertaraf Tier 1.
“Itu tidak mustahil sebab itu akan berpandu dengan kesesuaian venue semasa. Jika ia sesuai untuk dimainkan perlawanan antarabangsa, tidak ada salahnya.
“Ia mungkin kita akan bawa ke Sabah, Sarawak atau mana-mana stadium.InsyaAllah, tak ada masalah dan bukan mustahil menjalani latihan pusat dan bermain.
“Kita kalau boleh alu-alukan jika ada stadium yang sedia untuk bermain, apa salahnya. Ini salah satu rangka perpaduan,” katanya.
Ia bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini, skuad kebangsaan pernah bermain di di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 2023, Pulau Pinang dan beberapa negeri lagi.
Skuad kebanggan kendalian Peter Cklamovski, kini menjalani latihan di Johor Bahru di pusat latihan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kem latihan itu sebagai persediaan menentang Nepal dalam aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim.
Secara tradisi, skuad Harimau Malaya sering menjalani latihan di Wisma FAM di Kelana Jaya dan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). – UTUSAN











