JOHOR BAHRU: Pengamal media perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangkis penyebaran berita palsu pada zaman teknologi digital kini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, peranan pengamal media menjadi semakin penting apabila ‘scammer’ beralih arah kepada media sosial.
“Tidak dapat disangkal media main peranan penting dalam pembangunan negara, laporan dan penulisan pengamal media bantu sebar maklumat sekaligus membenarkan persepsi masyarakat.
“Menerusi penyaluran sumber maklumat yang sahih, pengamal media dapat membantu memperbetul fakta serta menangkis penyebaran berita palsu di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ketua Polis Johor Bersama Kelab Media Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam. Turut hadir, Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.
Tambah Kumar, pihaknya menghargai dedikasi pengamal media khususnya di negeri ini yang sentiasa bekerjasama baik dengan pihaknya dalam memberikan publisiti sekaligus meningkatkan imej dan tahap keberadaan polis pada masyarakat.
“Pen yang anda pegang lebih berkuasa daripada mana-mana senjata, jadi gunakan kedudukan itu untuk menyatupadukan serta meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat,” katanya. – UTUSAN











