Iftar @ KL 2025 tarik lebih 15,000 pengunjung

Iftar @ KL 2025 tarik lebih 15,000 pengunjung

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Iftar @ KL 2025 yang berlangsung malam tadi mencatatkan penyertaan luar biasa dengan kehadiran hampir 15,000 pengunjung.

Program yang memasuki edisi ke-13 sejak diperkenalkan pada 2007 itu terus mendapat sambutan hangat daripada rakyat setiap tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, program tersebut menjadi platform mengimarahkan bulan Ramadan, dan telah menjadi satu tradisi tahunan yang dinanti-nantikan di ibu negara.

“Menariknya, pada malam ini (malam tadi) juga kita turut mengadakan program bersempena malam tujuh likur.

“Kali ini, kita bekerjasama dengan 15 rakan strategik termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Malam Tujuh Likur dan Iftar @ KL 2025 di sini.

Zaliha berkata, antara pengisian utama pada tahun ini ialah program Bubur Lambuk Rewang Wira yang menyaksikan sebanyak 8,000 pek bubur lambuk diedarkan kepada para pengunjung.

Menurutnya, program Iftar KL akan terus dianjurkan pada masa akan datang kerana ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga kota dan masyarakat sekitar.

“Kita telah menyaksikan tiga pemenang utama diumumkan dan saya percaya program seperti ini mampu menjadi daya tarikan pelancongan, khususnya di Kuala Lumpur.

“Dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung setiap hari, ia membuktikan bahawa budaya dan kemajuan boleh bergerak seiring dalam membentuk identiti Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya Islam yang progresif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Turut diadakan Pertandingan Pelita Kota @ KL melibatkan 11 cawangan pejabat DBKL di sekitar ibu negara.

Kali ini, Parlimen Titiwangsa telah dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, manakala kedua, Parlimen Bukit Bintang (RM5,000) dan ketiga Parlimen Bandar Tun Razak (RM3,000). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×