TABALONG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati selepas dilaporkan hilang oleh keluarga di Tabalong, Kalimantan Selatan, Indonesia.
Mangsa ditemukan dalam karung yang dibuang berhampiran kawasan semak di kampung Lingsir, Balangan semalam.
Ketua Polis (Polres) Tabalong, Inspektor Joko Sutrisno berkata, siasatan mendapati mangsa dibunuh oleh seorang pekerja bengkel berusia 31 tahun.
“Kejadian berlaku pada Isnin lalu ketika mangsa sedang bermain di halaman rumahnya. Suspek yang tinggal serumah dengan keluarga mangsa dipercayai berang selepas kanak-kanak itu didakwa menganggunya tidur.
“Suspek menampar dan mencekik mangsa sehingga mati sebelum membungkus mayatnya dalam karung dan membuang ke kawasan semak di Balangan dengan menaiki motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Joko berkata, mayat mangsa ditemukan hanya kira-kira tiga meter dari jalan raya dalam keadaan tubuh membengkak serta mengeluarkan bau busuk.
Mayat kemudian dihantar ke Hospital Daerah Badaruddin Kasim untuk bedah siasat, dengan laporan awal menunjukkan terdapat kesan kecederaan serius termasuk keretakan pada tengkorak kepala.
“Bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, bedah siasat akan dilakukan,” katanya.
Suspek kini ditahan di Balai Polis Tabalong dan berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan.– AGENSI











