MTBC cari dana bantu pemain boling ke jelajah profesional

MTBC cari dana bantu pemain boling ke jelajah profesional

Tun Hakim Tun Hasnul Azam menjuarai Kejohanan PBA Chameleon di Nevada, Amerika Syarikat Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) berusaha mendapatkan dana bagi membolehkan pemain negara bersaing dalam kejohanan profesional seperti Jelajah Persekutuan Boling Profesional (PBA) dan Wanita (PWBA) di Amerika Syarikat (AS).  

Presidennya, Datuk Mohammed Najeeb Abdullah berkata, usaha itu penting selepas kejayaan Tun Hakim Tun Hasnul Azam menjuarai Kejohanan PBA Chameleon di Nevada, pada Selasa.

“Kita akan meneliti kaedah terbaik untuk mendapatkan penajaan, termasuk berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kejayaan ini membuktikan pemain kita mampu bersaing di peringkat tertinggi, tetapi mereka terpaksa berkorban sendiri untuk bertanding,” kata Najeeb.

Kejayaan itu hadir hanya dua hari selepas Muhammad Rafiq Ismail hampir mencipta sejarah yang sama apabila muncul naib juara PBA Scorpion Championship.  

Pada tahun lalu, pemain wanita negara Sin Li Jane menggegarkan Jelajah Boling Wanita Profesional (PWBA) dengan merangkul empat kejuaraan, termasuk dua gelaran utama, sekali gus dinobatkan sebagai Pemain Terbaik PWBA.  

Bagaimanapun, semua pemain negara terpaksa menanggung sendiri perbelanjaan mereka kerana kejohanan luar Asia tidak termasuk dalam program tajaan kerajaan.   

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok menjelaskan bahawa dana MSN hanya tertumpu kepada kejohanan di Asia yang menawarkan mata kelayakan serantau.

“Jelajah PBA dan PWBA adalah kejohanan profesional, menghantar pasukan 20 orang ke sana bukan sesuatu yang realistik dengan bajet yang kita ada.

“Kejohanan di Asia menawarkan mata ranking, sebab itu ia dimasukkan dalam program MSN, manakala untuk kejohanan di luar Asia, pemain perlu membiayai sendiri penyertaan mereka,” kata Maradona. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×