RAYA tahun ini paling bermakna buat pemilik Ruema Cafe & Event Space, Nur Syadanar Mohd. Zahari memandangkan ini merupakan tahun pertamanya beraya sebagai pemilik kafe estetik.
Enggan berselindung, kata wanita berusia 33 tahun ini, rezekinya sentiasa melimpah ruah sejak kafe tersebut dibuka pada Mei tahun lalu.
Justeru, Aidilfitri ini adalah masa yang tepat untuknya berkongsi kemanisan itu bersama keluarga yang telah membantunya membangunkan perniagaan sejak mula.
“Raya kali ini sangat istimewa kerana saya dapat berkongsi kebahagiaan ini dengan keluarga, pelanggan dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong perjalanan baharu saya ini,” luahnya.
Beliau bersyukur kerana sokongan padu daripada keluarga dan rakan-rakan menjadi titik tolak buat dirinya berjuang meletakkan kafenya setanding kafe-kafe estetik di ibu kota ini dalam masa hanya setahun.
Walaupun baru sahaja bertapak, namun kafe itu sudah mempunyai peminatnya tersendiri, malah menjadi salah satu tempat makan yang digemari.
Ramai kenalan selebritinya turut memilih kafe itu sebagai lokasi untuk membuat acara dan pelancaran produk.

KEJAR IMPIAN
Bagi dirinya, kejayaan yang dikecapi beliau bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga satu inspirasi buat mereka yang ingin mengejar impian masing-masing.
Angan-angan bukan sekadar untuk diimpikan, tetapi untuk dicapai.
Beliau yang memang mengimpikan memiliki sebuah kafe estetik, kini mampu tersenyum puas di depan kafe yang tersergam indah di Kuala Lumpur ini.
Semuanya bermula daripada langkah berani beliau untuk berhenti kerja demi memulakan perniagaan dalam bidang makanan dan minuman (F&B).
Daripada dunia korporat, wanita berusia 33 tahun ini terjun ke dalam bidang keusahawanan tanpa sebarang ilmu atau pengetahuan dalam bidang makanan dan minuman. Pegangannya hanya satu, percaya diri!
Menariknya, beliau tidak bersendirian. Adik-beradiknya juga tidak teragak-agak untuk membuat keputusan ‘gila’ berhenti kerja demi membantunya menguruskan perniagaan.
Mengetahui Nur Syadanar ingin mengambil keputusan berhenti kerja kerana ingin membuka perniagaan sendiri, keempat-empat kakaknya juga turut meletakkan jawatan di tempat kerja masing-masing bagi membantu adik bongsu mereka.
Sudah tentu, Nur Syadanar berasa terharu dengan sokongan dan pengorbanan kakak-kakaknya yang sanggup mengambil risiko bersama-sama demi merealisasikan impian sejak kecilnya itu.
Malah kakak-kakaknya bersepakat menjadikan beliau sebagai ketua pegawai eksekutif kerana percaya dirinya mampu menggalas tanggungjawab tersebut dan mempunyai hala tuju yang lebih jelas.
“Angan-angan saya hampir terkubur apabila memulakan kerjaya dalam dunia korporat, kemudian beralih pula ke Pemasaran Berbilang Tingkat (MLM) di Young Living.
“Namun, dalam tempoh beberapa tahun bekerja dalam bidang tersebut, saya berjaya menstabilkan simpanan kewangan serta memperoleh pendapatan memberangsangkan. Selepas itu, barulah saya mulakan perniagaan ini,” katanya.
Katanya, semasa meluahkan hasrat berhenti kerja, suaminya tidak mempunyai sebarang masalah dan bersetuju kerana yakin mampu menyara isteri dan anak-anak.
Namun, suaminya tidak menyangka beliau sebenarnya mempunyai perancangan untuk membuka perniagaan.
Setelah diberitahu, suami pada awalnya agak terkejut, namun melihat semangat kental si isteri, akhirnya suaminya memberikan sokongan penuh dalam perjalanan baharu itu.
Selain adik-beradik dan suami, ahli keluarga lain juga turut memainkan peranan dalam memastikan kelancaran operasi di kafe.
Abang-abang iparnya, turut sedia membantu melayan pelanggan yang ramai pada hujung minggu dan memastikan perkhidmatan berjalan lancar dan pelanggan berpuas hati.
Mereka juga turut membantu dalam urusan membeli barangan dapur yang diperlukan serta memastikan stok bahan sentiasa mencukupi untuk keperluan harian.
“Sokongan moral dan tenaga kerja daripada seluruh keluarga memberikan saya lebih keyakinan bahawa saya tidak bersendirian dalam perjalanan baharu ini,” katanya.
Bagi keluarga beliau, keputusan ini bukan sekadar membina perniagaan tetapi turut mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.
Pada mulanya, beliau bercadang untuk membuka perniagaan perkhidmatan mengatur acara, ekoran dirinya yang suka merancang dan menguruskan sesuatu majlis dengan teliti.
Namun, perniagaan kafe akhirnya menjadi pilihan berbekalkan pengalaman dalam pelbagai bidang, dari korporat, sumber manusia, pengurusan acara sehinggalah peringkat pemasaran.
Lebih banyak masa bersama keluarga
Memilih untuk membangunkan perniagaan sendiri benar-benar memberikan hikmah terbaik buat dirinya dan keluarga.
Di sebalik kesibukan menguruskan kafe dan merancang acara, namun beliau tetap berkesempatan membahagikan masa dengan baik antara kerjaya dan keluarga.
Paling penting, beliau ada lebih masa berkualiti bersama anak-anak kecilnya.
Setiap pagi sebelum ke tempat kerja, ibu kepada dua cahaya mata ini membantu menyiapkan anak-anaknya, sempat bermain serta memastikan keperluan si manjanya terjaga.
Walaupun mempunyai pembantu rumah, beliau tetap mahu terlibat secara langsung dalam menguruskan anak-anaknya.
Selepas bekerja, beliau akan pulang tepat waktu bagi meluangkan waktu malam bersama keluarga.
Malah, pada hujung minggu, meskipun jadualnya sangat sibuk berbanding dengan pekerjaan lamanya, beliau tetap mampu mencuri masa membawa anak-anak ke tempat kerja atau meluangkan waktu berkualiti apabila tidak terikat dengan jadual padat.
Inspirasi di sebalik perniagaan
Mengulas mengenai nama ‘Ruema’ bagi kafe, kata Nur Syadanar, ia dipilih kerana mempunyai makna tersendiri, iaitu gabungan perkataan ‘ ru’ dan ‘rumah’.
Beliau amat menggemari melihat pokok ru, baginya tumbuhan tersebut melambangkan elemen alam semula jadi yang membawa ketenangan.
Justeru, kafe itu direka dengan elemen yang membawa suasana nyaman dan mendamaikan dengan meletakkan sebuah pokok besar sebagai elemen utama dalam dekorasi.
Reka bentuk dalaman kafe tersebut juga memberikan suasana santai dan mesra keluarga, membolehkan pelanggan berasa selesa untuk duduk lama sambil menikmati hidangan.
Beliau mengetengahkan menu yang merangkumi pelbagai pilihan untuk semua peringkat umur, dari masakan tempatan hingga makanan barat.
Selain itu, satu ciri unik kafe tersebut adalah adanya bilik permainan khas untuk kanak-kanak.
Sebagai seorang ibu, Nur Syadanar memahami cabaran ibu bapa yang ingin makan dengan tenang.
Katanya, dengan adanya ruang permainan khas yang kalis bunyi, anak-anak dapat bermain dengan selamat tanpa mengganggu pelanggan lain.
Lebih manis, perniagaannya itu mendapat perkhidmatan daripada chef selebriti iaitu Cef Raziq Rafice.
Katanya,sebagai ketua cef dan perunding menu di Ruema, Cef Raziq mampu mengolah menu yang berkualiti tinggi dan unik termasuk menggabungkan aroma minyak terapi dalam masakan.
“Kreativitinya dalam mencipta hidangan sangat luar biasa dan beliau sentiasa bersedia untuk mencuba sesuatu yang baharu, sekaligus membuatkan saya yakin untuk bekerja dengannya,” ujarnya.-UTUSAN










