HANOI: Pihak berkuasa Vietnam sedang menyiasat jenama teh popular China, Chagee, yang bakal membuka cawangan pertama di negara itu, berhubung penggunaan imej peta ‘sembilan garis putus’ dalam aplikasi mudah alihnya, menurut laman web jawatankuasa parti Ho Chi Minh City.
Timbalan Ketua Inspektor Jabatan Kebudayaan dan Sukan Ho Chi Minh City, Tran Binh Thien berkata, sebarang pelanggaran melibatkan penyediaan, penggunaan atau penyebaran maklumat serta imej peta Vietnam yang mencabul kedaulatan negara akan ditangani mengikut undang-undang.
Jabatan itu juga akan menyiasat maklumat di media sosial berkaitan lencana Chagee yang memaparkan imej makam bekas presiden Ho Chi Minh tetapi dengan kapsyen palsu, lapor akhbar Lao Dong di laman webnya.
Vietnam secara agresif memantau semua rujukan kepada garis sempadan yang dikenali sebagai ‘sembilan garis putus’.
Pemeriksaan terhadap mainan kanak-kanak tertentu dipertingkatkan minggu lalu, susulan kebimbangan imej pada muka anak patung yang menyerupai peta perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
Filem Barbie diharamkan daripada tayangan di pawagam pada 2024 kerana satu babak yang memaparkan peta tersebut.
Negara itu juga meminta Snapchat untuk menghapuskan imej peta Laut China Selatan yang dipertikaikan oleh China dalam aplikasi mudah alihnya.
Unit Vietnam bagi jenama teh susu itu tidak segera memberi maklum balas terhadap isu tersebut.
China menuntut lebih 80 peratus Laut China Selatan dan menyokong tuntutan tersebut dengan peta 1947 yang menunjukkan garis putus-putus, yang melingkari sehingga 1,800 kilometer (km) ke selatan Pulau Hainan.
Vietnam, Filipina, Brunei, Malaysia dan Taiwan turut menuntut sebahagian daripada kawasan maritim yang sama dan bertelagah dengan China mengenai sempadan yang sepatutnya.- BLOOMBERG










