PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) dikecam kerana bersekongkol dengan Israel dalam pembersihan etnik rak yat Palestin di Gaza.
Presiden Pertubuhan Ikram Ma laysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, tindakan AS itu sangat jelas apabila rejim Zionis tanpa bersembunyi mengatakan mereka mendapat ‘lampu hijau’ daripada pentadbiran Presiden Donald Trump untuk memulakan serangan terbaharu di Gaza.
Serangan tersebut membunuh lebih 470 rakyat Palestin termasuk 170 kanak-kanak setakat ini.
Kata Badlishah, AS menyedia kan perlindungan diplomatik, sokongan politik, moral dan ketenteraan yang besar kepada Israel.
“Ikram melihat usaha bersama Israel dan AS bagi memenuhi agenda jahat Trump yang mahu Gaza dikosongkan dan menjayakan agenda Pelan Pembangunan Semula Gaza di bawah pentadbiran Israel.
“Kami turut mengecam kempen serangan udara intensif AS di Yaman baru-baru ini, untuk menghalang Houthi meneruskan sokongan mereka terhadap Gaza,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Rejim Zionis melancarkan serangan udara bertali arus ke Gaza ketika umat Islam berpuasa dan berterawih. Serangan dilancarkan selepas Israel mencabuli gencatan senjata sementara yang dipersetujui.
Serangan terbaharu Israel itu meningkatkan kemusnahan di Palestin terutama Gaza yang telah mengorbankan hampir 50,000 jiwa. Sebahagian besar mangsa korban adalah kanak-kanak dan wanita.
Badlishah berkata, serangan terbaharu Israel itu tidak berperikemanusiaan selepas rejim Zionis mengenakan sekatan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak dua minggu lalu.
Kata beliau, ia bukti jelas pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat di mana rejim Zionis terlibat dalam usaha genosid dan pembersihan etnik rakyat Gaza.
“Ikram menuntut gencatan senjata segera dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaksa semua pihak menghentikan serangan di Gaza dan Yaman.
“Ikram juga menuntut siasatan antarabangsa yang saksama di bawah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap potensi jenayah perang dengan akauntabiliti terhadap Israel.
“Kami juga menuntut kemasukan bantuan tanpa had ke Gaza dan Yaman untuk menangani kekurangan makanan, ubat-ubatan dan perkhidmatan penting yang kritikal.
“Ikram menuntut komitmen diperbaharui terhadap keamanan yang adil dan berkekalan di Palestin – Israel melalui pematuhan kepada penyelesaian, mengambil kira hak kemanusiaan rakyat Palestin melalui proses rundingan damai,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, AS perlu menghentikan segera saluran dana dan kenteraan kepada Israel bagi menamatkan kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.
Kata beliau, AS secara langsung bersubahat dalam pembunuhan rakyat Palestin dengan terus menyalurkan dana, membekalkan senjata dan melindungi Israel daripada dihadapkan ke muka pengadilan.
“Ini adalah keganasan yang disokong oleh negara, dibiayai dan dilindungi sepenuhnya oleh sokongan ketenteraan dan diplomatik AS,” katanya.
Syed Ibrahim berkata, dunia mesti menentang pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dan berdiri bersama mereka untuk menamatkan kekejaman Israel.
“Israel mesti dihadapkan ke muka pengadilan mengikut undang-undang antarabangsa.
“Kecaman sahaja sudah tidak memadai dan sekarang adalah masa untuk bertindak terhadap Israel yang terus-menerus melancarkan siri serangan ke atas rakyat Palestin. Tamatkan semua bantuan kepada Israel, tiada negara harus membiayai jenayah perang.
“Campur tangan antarabangsa dituntut untuk menamatkan kepungan ke atas Gaza. Bantuan makanan, air dan perubatan mesti disalurkan tanpa sekatan,” katanya. – UTUSAN










