PETALING JAYA: Perkahwinan bawah umur sering dikaitkan dengan kadar perceraian yang tinggi berpunca daripada ketidaksediaan pasangan muda menggalas tanggungjawab, sekali gus menjadi faktor memerangkap ramai wanita muda dalam kitaran kemiskinan.
Pakar Sains Pembangunan, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan berkata, kebanyakan wanita yang berkahwin terlalu awal tidak sempat menamatkan pendidikan menyebabkan mereka sukar memperoleh pekerjaan yang stabil.
Katanya, tanpa kelayakan akademik yang mencukupi, peluang mereka untuk keluar daripada kemiskinan menjadi semakin tipis dan terpaksa menanggung kesan ekonomi yang berpanjangan.
“Dalam kebanyakan kes, wanita muda yang bercerai terpaksa membesarkan anak seorang diri dengan pendapatan terhad.
“Mereka terpaksa bergantung kepada keluarga atau bantuan kerajaan untuk meneruskan kehidupan. Namun, ini bukan penyelesaian jangka panjang kerana ia tidak menjamin masa depan mereka dan anak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini kelmarin melaporkan, pernikahan bawah umur disebabkan masalah keluarga, kemiskinan dan terlanjur, banyak mengundang risiko termasuk perceraian ekoran tiada kematangan dan persefahaman dalam melayari bahtera rumah tangga.
Nik Ahmad berkata, tekanan kewangan menyebabkan ramai wanita muda terpaksa bekerja dalam sektor tidak formal dengan pendapatan rendah dan tiada perlindungan sosial.
Katanya, kos penjagaan anak yang tinggi menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada ahli keluarga atau memilih pekerjaan tidak tetap bagi menjaga anak sendiri.
Justeru, katanya, stigma sosial terhadap wanita bercerai juga masih wujud di mana mereka berdepan diskriminasi dalam pasaran pekerjaan.
“Mereka sering dianggap sebagai individu yang mempunyai beban tanggungan tinggi sekali gus mengurangkan peluang untuk mendapat pekerjaan lebih baik.
“Sesetengah wanita muda terperangkap dalam kemiskinan memilih berkahwin semula untuk keluar daripada kesusahan ekonomi, tetapi tanpa persediaan mencukupi, mereka berisiko menghadapi masalah sama dan terus terperangkap dalam kitaran perkahwinan serta perceraian,” katanya.
Menurutnya, wanita yang melalui perceraian pada usia muda sering mengalami tekanan mental dan emosi menyebabkan mereka berasa terpinggir dan hilang keyakinan diri.
“Selepas bercerai, kembali ke alam persekolahan bukanlah pilihan yang mudah kerana mereka perlu bekerja untuk menyara diri.
“Tanpa kelulusan yang mencukupi, mereka hanya mampu mendapatkan pekerjaan bergaji rendah yang tidak menawarkan jaminan masa depan yang cerah,” jelasnya.
Nik Ahmad berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira dalam menentukan usia paling sesuai untuk seseorang mendirikan rumah tangga bagi memastikan perkahwinan yang dibina kekal bahagia dan stabil.
“Usia pertengahan 20-an merupakan usia lebih sesuai untuk seseorang berkahwin kerana individu sudah mencapai tahap kematangan mental dan emosi yang lebih stabil.
“Mereka juga sudah mempunyai peluang untuk menamatkan pendidikan dan memulakan kerjaya yang membolehkan mereka membina asas kewangan lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN










