SUDAH tiba masanya untuk kita berganding bahu memperhebatkan usaha dan promosi ke arah membina negara bangsa. Ia merujuk kepada negara berdaulat yang mempunyai penduduk dengan kesedaran bahawa terdapat persamaan dalam kalangan mereka.
Kita sewajarnya tidak lagi mengidentifikasikan diri berdasarkan kaum, keturunan atau warna kulit sebaliknya dikenali dan berbangga sebagai bangsa Malaysia.
Setelah 68 tahun mencapai kemerdekaan kita mendapati tahap kesedaran tentang keperluan untuk monoktahkan segala perbezaan yang wujud antara etnik yang ada masih rendah. Misalnya, sedikit sahaja provokasi sudah cukup untuk mencetuskan perbalahan terutamanya dalam platform media sosial.
Maka tidak keterlaluan untuk dirumuskan tahap perpaduan pada ketika ini umpama senipis kulit bawang dan hal ini sentiasa menjadi duri dalam daging serta bom jangka panjang yang membelenggu negara.
Buktinya sehingga kini masih berlaku pelbagai insiden yang menyentuh isu-isu sensitif seperti agama dan kaum sehingga mencetuskan perbalahan dalam kalangan anggota masyarakat. Sampai bila kita mahu ulangi skrip sama dan membiarkan kerukunan hidup masyarakat majmuk serta perpaduan yang ada terus diganggu gugat.
Ironinya kita perlu kembali bertaut sepenuhnya kepada Perlembagaan sebagai dokumen undang-undang tertinggi negara selain kontrak sosial yang dimeterai generasi terdahulu atas prinsip tolak ansur dan saling memahami.
Jujurnya kita tidak mampu berhadapan lagi insiden hitam seperti peristiwa 13 Mei 1969 yang menggoncang jambatan perpaduan sekali gus mengancam keselamatan rakyat dan menggugat kestabilan serta keamanan negara.
Jelas sekali sudah ada keperluan mendesak untuk melipatgandakan usaha dan inisiatif bagi mempromosikan budaya hidup bersatu padu, menghormati perbezaan di samping sedia dan terbuka berkongsi identiti sebagai rakyat Malaysia. kerajaan semata-mata.
Di samping berharap semua agensi kerajaan yang terlibat akan memperkasakan usaha bagi mewujudkan ekosistem perpaduan yang ampuh sekali gus merintis jalan ke arah pembinaan negara bangsa yang unggul, setiap komponen anggota masyarakat juga perlu memainkan peranan dan memikul tanggungjawab secara bersama.
Hakikatnya selama ini pelbagai usaha dilakukan agensi kerajaan untuk menyemarakkan semangat perpaduan dan kekitaan namun tindak-tanduk segelintir anggota masyarakat yang terus mencetuskan perbalahan cukup mengecewakan.
3R
Sedar atau tidak sejak kebelakangan ini wujud trend yang cukup membimbangkan apabila kes tangkapan membabitkan individu yang menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) semakin meningkat. Seolah-olah ada gerakan untuk memanipulasi isu ini bagi pelbagai kepentingan peribadi tanpa mempedulikan impak dan kesan negatif terhadap kehidupan rakyat dan ketenteraman awam.
Jangan kita lupa betapa intipati 3R melibatkan tiang seri kehidupan masyarakat majmuk negara ini yang sekian lama hidup aman dan damai dengan budaya saling hormat menghormati serta bertolak ansur, selain meletakkan institusi diraja di tempat yang selayaknya sebagai payung negara.
Pada masa sama semua pihak perlu menyokong agenda membina negara bangsa sebagai strategi jangka panjang untuk perkukuh perpaduan nasional sekali gus menoktahkan segala usaha memporak perandakan kesepaduan dalam kalangan rakyat.
Jelas sekali membina negara bangsa merupakan perjalanan sangat jauh dan berliku apatah lagi adanya ganggu gugat dari pihak yang cuba menggunakan isu agama dan kaum sebagai modal untuk memperjuangkan agenda peribadi.
Secara umumnya semua lapisan anggota masyarakat perlu disedarkan bahawa soal perpaduan dan pembinaan negara bangsa merentasi agama, bangsa, kepentingan peribadi mahupun ideologi politik.
Ringkasnya, tidak boleh sewenang-wenangnya menjadikan 3R sebagai modal politik atau formula untuk menarik sokongan mahupun meraih simpati rakyat.
Menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat termasuk yang bukan Islam untuk menjaga, menghormati dan memelihara kesucian agama Islam kerana telah digazetkan sebagai agama rasmi bagi Persekutuan. Justeru, mana-mana pihak yang didapati melakukan tindakan menghina Islam perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua.
Untuk itu kita berharap semua agensi kerajaan, korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil komuniti akan bergabung tenaga dan memainkan peranan di setiap peringkat lapisan anggota masyarakat untuk mempromosi keperluan membentuk negara bangsa yang ideal dan bersatu padu.
Kita perlu buang jauh-jauh segala perbezaan yang ada sebaliknya menjiwai dan memperkukuhkan ikatan persamaan yang mencakupi perkara-perkara asas dalam kehidupan seharian seperti bahasa, budaya serta nilai supaya dapat terus menyuburkan semangat kekitaan.
Apa yang dihasratkan ialah untuk mencetuskan perasaan taat setia serta semangat perpaduan dalam kalangan warganegara sebuah negara yang berdaulat dan majmuk.
Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, sayangkan negara dan perpaduan yang ada, kita perlu berikrar agar masing-masing dapat bertindak sebagai ejen perpaduan yang menyuburkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk. Ini akan merintis jalan ke arah pembinaan negara bangsa yang diidamkan.
Kepada ahli politik yang toksik dan suka meraih laba bermodal isu 3R, kita mohon hentikanlah sikap serta perbuatan tidak bertanggungjawab itu. Sewajarnya ahli politik menjadi suri teladan dan mengajak rakyat untuk mempromosikan keharmonian dalam kepelbagaian yang ada.
Kepada netizen yang suka mencetuskan provokasi dan menuang minyak ke dalam api, juga kita mohon hentikanlah perbuatan tersebut. Jangan jadikan platform media sosial sebagai medan yang memulakan peperangan sesama kita.
Tuntasnya, kita perlu berjiwa besar dengan bertindak berani untuk menoktahkan segera isu perkauman dan beriltizam untuk membina negara bangsa. Rakyat perlu bersatu dan menolak segala cubaan yang mahu merobek serta meruntuhkan jambatan perpaduan yang ada.
Ingat, kestabilan serta perpaduan kaum adalah prasyarat utama untuk negara dan masyarakat bergerak maju ke hadapan dan mencapai kejayaan.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) Universiti Putra Malaysia (UPM).










