BARU-baru ini, dilaporkan pelaburan yang diluluskan untuk tahun 2024 di Malaysia telah mencapai angka tertinggi yang direkodkan sehingga kini, iaitu sebanyak RM378.5 bilion. Pelaburan domestik telah mencecah sebanyak RM208.1 bilion (iaitu 55 peratus daripada jumlah keseluruhan), manakala pelaburan asing telah mencecah RM170.4 bilion, atau 45 peratus.
Sumber pelaburan asing terbesar adalah Amerika Syarikat, Jerman, China, Singapura, dan Hong Kong. Dari sudut peluang pekerjaan, sebanyak 207,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan melalui pelaburan ini.
Mengapa statistik pelaburan ini penting? Pertamanya, pelaburan domestik yang agak besar ini wajar dialu-alukan, terutamanya dalam era ketidaktentuan geopolitik yang semakin ketara kerana ia menunjukkan bahawa Malaysia sentiasa boleh menarik pelaburan domestik. Tambahan pula, ia menunjukkan bahawa syarikat tempatan kita masih sanggup melabur, dan yakin dengan dasar-dasar ekonomi kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keduanya, walaupun pelaburan yang diluluskan ini diterajui oleh sektor perkhidmatan (iaitu sebanyak RM252.7 bilion dan bakal mewujudkan sebanyak 110,083 pekerjaan baharu, dengan 67.9 peratus daripada angka ini bersumberkan pelaburan domestik), berita bahawa pertumbuhan ini diterajui oleh subsektor maklumat dan komunikasi turut menggalakkan.
Ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja terus menarik pelaburan tempatan dan asing, malah menunjukkan bahawa pelaburan ini semakin bernilai tinggi dan mewujudkan pekerjaan yang bergaji tinggi.
Angka yang sedia ada jelas menunjukkan bahawa Malaysia kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan daripada setiap penjuru dunia.
Tidak dapat dinafikan bahawa isu-isu akar umbi seperti kos sara hidup tetap perlu diperbaiki. Walau bagaimanapun, naratif “ekonomi dalam keadaan buruk” mungkin lebih kompleks dan, secara jujurnya, perlu dipandang dari perspektif jangka masa yang lebih panjang.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang diterajui oleh Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz, telah berjaya mencipta momentum pelaburan cemerlang ini dan wajar meneruskan usaha dalam membina hubungan bilateral dan multilateral serta kekal komited terhadap mempertahankan institusi antarabangsa yang melindungi kepentingan negara kecil dan sederhana seperti Malaysia.
Malaysia juga harus mengambil peluang sepenuhnya semasa tahun Kepengerusian ASEAN untuk mengukuhkan posisi ekonomi negara di peringkat antarabangsa. Malaysia harus memimpin agenda ekonomi ASEAN dengan cara yang mampu memanfaatkan ekonomi kita, terutamanya dalam sektor-sektor yang penting untuk membina ketahanan ekonomi masa hadapan seperti teknologi hijau dan ekonomi digital. Pada masa yang sama, keterangkuman semua segmen pemain ekonomi seperti industri kecil dan sederhana, keterlibatan wanita, dan penyertaan golongan belia harus terus diperkukuhkan dalam arus perdana ketika memimpin ASEAN.
Jangan sia-siakan Kepengerusian ASEAN ini. Ini adalah peluang keemasan untuk kita meneruskan momentum pelaburan yang tercipta. Malaysia harus terus maju ke hadapan dalam memimpin agenda ekonomi serantau, supaya kita dapat menentukan hala tuju sendiri dan tidak ketinggalan serta sekadar menjadi pak turut. – UTUSAN
MOHD SHARIFF MOHD FADHLI
Bandar Baru Bangi










