LONDON: Arne Slot kini memberi tumpuan sepenuhnya untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas terlepas meraih trofi Piala Liga selepas pasukannya tewas 2-1 kepada Newcastle.
Kekecewaan di Wembley itu hadir selepas empat hari mereka masih meratap kegagalan meneruskan kempen Liga Juara-Juara tewas kepada Paris Saint-Germain dalam penentuan sepakan penalti, sekali gus mencalar reputasi Reds yang semakin hampir untuk menjulang gelaran liga musim ini.
Bagi Newcastle, kemenangan itu merupakan yang terbesar dalam sejarah kelab itu dalam tempoh 56 tahun selepas dua jaringan daripada Dan Burn dan Alexander Isak menutup peluang Liverpool untuk meraikan kemenangan pagi ini.
“Kami datang di sini dengan reputasi kelab paling besar di dunia. Sebelum ini kami berdepan pasukan terbaik di Eropah dan kemudian menentang Newcastle yang boleh dianggap pasukan kuat di England. Sebarang kemungkinan boleh berlaku,” kata Slot.
Walaupun mengakui melalui minggu yang mencabar, Slot tetap memuji anak-anak buahnya yang masih bertahan untuk memimpin kedudukan Liga Perdana.
“Saya ingin beritahu kami sebelum ini menewaskan Southampton dan kami berjaya memisahkan kedudukan dengan kelebihan 12 mata dengan baki sembilan lagi perlawanan. Satu perkara yang perlu anda tahu setiap kali anda mara, akan ada pasukan lawan yang semakin kuat. Malah, Liverpool sendiri boleh tewas. Ini tidak mustahil berlaku,” katanya. – AFP/UTUSAN











