Mukadimah
INDUSTRI automotif berada di persimpangan kritikal, menghadapi persaingan antarabangsa yang sengit, perubahan dalam jangkaan pelanggan, peningkatan kos dan kerumitan rantaian bekalan, menjadikan pengeluar kenderaan semakin pantas menerapkan teknologi awan dan kecerdasan buatan (AI).
Tahun 2024 menyaksikan pemain utama dalam industri memanfaatkan AI dan AI generatif (Gen AI) dalam beberapa aspek operasi mereka, melangkaui projek perintis ke arah hasil yang nyata. Pada 2025, industri bersedia untuk meningkatkan pelaksanaan AI bagi menjana pertumbuhan baharu dalam perniagaan mereka.
Wartawan Utusan Malaysia, HENDRA WINARNO berpeluang menemu ramah Pengarah Negara, Malaysia dan Singapura, Google Cloud, SERENE SIA untuk berkongsi lebih lanjut berkenaan topik ini.
UTUSAN: Boleh kongsikan mengenai peningkatan kecekapan operasi yang didorong oleh Gen AI untuk pengeluar kereta?
SERENE: Tahun ini, AI akan mendorong peningkatan kecekapan yang ketara dalam operasi dalaman. Pengeluar seperti Toyota telah menggunakan sistem AI Hypercomputer Google Cloud untuk menjalankan AI dengan kebolehpercayaan tinggi dan latensi rendah di beberapa kilang pemasangan di lokasi terpencil.
Ini membolehkan AI diintegrasikan ke dalam proses di lantai kilang, seperti memeriksa aplikasi pelekat yang dipasang pada kaca pintu kereta atau mengesan keabnormalan dalam mesin cetakan suntikan yang menghasilkan bampar kenderaan.
Platform AI berasaskan awan telah membantu Toyota mengautomasikan 10,000 jam tugas berulang yang memerlukan tenaga kerja intensif pada 2024, membebaskan pekerja untuk memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai lebih tinggi.
Sebagai contoh, mereka boleh menggunakan AI untuk mendapatkan cerapan daripada data yang besar bagi mengoptimumkan pengeluaran dan kawalan kualiti dalam bidang lain.
Bagaimana pula dengan pengalaman membeli kereta akan menjadi lebih lancar dengan Gen AI?
AI akan meningkatkan pengalaman membeli kereta, disebabkan kini proses pembelian kereta melibatkan interaksi dalam talian dan secara bersemuka yang tidak selaras, kadang-kadang menyebabkan kegusaran bagi pembeli.
Gen AI berjanji untuk mengurangkan masalah ini dengan mencipta pengalaman tanpa halangan dari penyelidikan awal hingga perkhidmatan selepas jualan.
Pengeluar kenderaan seperti Ford dan ALVA sedang menggunakan pemperibadian yang dipacu AI untuk menyesuaikan pengalaman membeli dan memiliki kenderaan mengikut keutamaan Individu.
Selain itu, ALVA, yang mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) dua roda, menggunakan Gen AI untuk menyediakan pasukan perkhidmatan pelanggan selepas jualannya dengan cerapan masa nyata tentang tingkah laku menunggang, seperti kelajuan, pecutan, brek, orientasi giroskop, jarak yang dilalui dan paras bateri kenderaan.
Hasilnya, jika seorang pelanggan menghubungi pusat perkhidmatan pada waktu perjalanan biasa mereka dan berada di pertengahan jarak perjalanan harian, pasukan perkhidmatan pelanggan boleh mengesan bahawa ini mungkin aduan segera berkaitan kerosakan kenderaan bahkan sebelum bercakap dengan pelanggan tersebut.
Bagaimana puan merasakan Agen AI multimodal akan memperkenalkan era baharu dalam Pemanduan?
2025 akan menjadi tahun Agen AI multimodal (multimodal AI agent), mencipta interaksi yang lebih peribadi dan intuitif antara pemandu dan kenderaan mereka, meningkatkan kemudahan dan keselamatan.
Tidak seperti pembantu kenderaan tradisional, Agen AI multimodal boleh memahami dan memberi respons terhadap pelbagai input, termasuk teks, suara, dan imej.
Bayangkan Agen AI yang boleh menggunakan kamera untuk memantau keadaan pemandu dan memberikan amaran jika keletihan atau gangguan dapat dikesan. Agen AI yang sama boleh menggunakan maklumat visual untuk meningkatkan navigasi, memberikan arahan yang lebih terperinci dan relevan dengan konteks.
Mercedes-Benz, sebagai contoh, adalah antara yang pertama mengintegrasikan Agen AI automotif (automotive AI agent) Google Cloud ke dalam Pembantu Maya MBUX mereka, yang akan hadir pada Mercedes-Benz CLA baharu pada tahun ini.
Ini membolehkan perbualan semula jadi dan respons pintar terhadap soalan seperti ‘Adakah terdapat restoran Itali berdekatan?’ serta soalan susulan seperti ‘Adakah restoran itu mempunyai ulasan baik?’ atau ‘Apa menu yang paling popular?’, semuanya sambil pemandu mengekalkan perhatian pada jalan raya.
Bolehkah puan kongsikan bagaimana keselamatan yang dikuasakan Gen AI akan meningkatkan keselamatan?
Apabila kenderaan semakin menjadi ‘ditakrifkan oleh perisian’ (iaitu, berhubung atau bahkan autonomi), keselamatan siber menjadi amat penting.
Sejak 2021, Waymo, yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan autonomi EV di San Francisco dan Los Angeles, telah melaksanakan proses yang kukuh berdasarkan amalan keselamatan (secure by design) yang direka oleh Google untuk mengenal pasti, mengutamakan dan mengurangkan ancaman siber.
Begitu juga, Formula E, satu siri perlumbaan global yang berfungsi sebagai platform pembangunan dan pameran teknologi EV terkini, sedang memperkukuhkan pengurusan data berasaskan awan dan operasi kritikal mereka dengan kecerdasan ancaman AI, tindak balas insiden dan keupayaan operasi keselamatan dari Google Cloud.
Pada 2025 pula gen AI akan menjadi senjata yang paling ampuh dalam industri terhadap ancaman siber baharu dan yang bakal muncul.
Dengan mengesan aktiviti mencurigakan dan kelemahan dalam masa nyata, gen AI meningkatkan keselamatan kenderaan dan mengukuhkan kepercayaan pengguna.
Bagaimana tanggapan puan terhadap kebangkitan rantaian bekalan kecerdasan?
Rantaian bekalan kecerdasan sinonim dengan rantaian bekalan yang tahan lasak kerana ia lebih baik dalam menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan.
Menghadapi kerumitan dan gangguan baharu, dari kejadian yang disebabkan perubahan iklim hingga perubahan dinamik pasaran, pengeluar kenderaan seperti BMW Group dan Renault telah beralih ke platform AI berasaskan awan untuk mendapatkan keterlihatan hujung ke hujung merentas rantaian bekalan, membolehkan menjejak komponen, memantau tahap inventori dan mengoptimumkan logistik dalam masa nyata.
Alat ramalan yang dipacu gen AI, sebagai contoh, membantu menganalisis set data yang sangat besar, termasuk trend sejarah, data sensor masa nyata dan faktor luaran seperti corak cuaca untuk meramalkan gangguan yang berpotensi dan menyesuaikan jadual pengeluaran dengan proaktif.
Ini memberi kuasa kepada pengeluar kenderaan untuk mengurangkan risiko, mengurangkan kos, meningkatkan kelincahan dan mengukuhkan kerjasama di seluruh ekosistem pembekal mereka.-UTUSAN










