Budak enam tahun cedera, jatuh longkang dikejar anjing liar

Budak enam tahun cedera, jatuh longkang dikejar anjing liar

MUhammad Zhafran Abd. Rahim cedera di muka dan lutut akibat terjatuh ke dalam longkang selepas dikejar anjing liar di kawasan perumahannya di Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan, semalam. – utusan/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang kanak-kanak lelaki enam tahun cedera di muka dan lutut akibat terjatuh ke dalam longkang selepas dikejar anjing liar di kawasan perumahannya di Gemencheh, di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ibu mangsa, Sharina Rebbuan, 35, berkata, ketika kejadian anaknya, Muhammad Zhafran Abd. Rahim bersama dua sepupu dalam perjalanan ke rumah nenek mereka tidak jauh dari rumah mereka di Taman Impian.

Menurutnya yang bekerja sebagai pembantu kedai, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 petang dan ketika itu, anaknya itu sedang mengayuh basikal di lorong taman perumahan ber­kenaan.

“Anak saya ketakutan apabila tiba-tiba ada dua ekor anjing liar melintasi lorong berkenaan. Dua sepupunya sudah di hadapan, anak saya yang takut sebaik dikejar cuba lari namun terjatuh ke dalam longkang.

“Mujur jiran terdengar dan segera keluar rumah bagi membantu anak saya. Bagaimanapun, anak saya berjaya keluar sendiri dari dalam longkang tersebut, sementara anjing liar pula sudah berlalu pergi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sharina berkata, dia telah menetap kira-kira 15 tahun di taman perumahan tersebut, namun, masalah anjing liar itu semakin menjadi-jadi sejak lebih dua tahun lalu.

Malah menurutnya, jika dihitung, terdapat sekitar 15 ekor anjing liar yang akan berkumpul sekitar waktu pagi atau lewat petang dan malam di kawasan padang berhampiran.

“Sampai satu tahap, kami semua takut hendak keluar rumah. Lebih-lebih lagi macam saya hendak hantar naik motosikal, memang takut, sekarang anak saya pula trauma.

“Tahun ini sahaja sudah lima kali kes dikejar anjing liar. Tahun lalu pula ada penduduk yang digigit tetapi sehingga kini masalah ini masih belum selesai,” katanya.

Menurut Sharina, dia amat berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera menangkap anjing liar atau memantau pemilik anjing supaya tidak sesuka hati melepaskan

binatang peliharaan masing-masing sehinggakan menimbulkan ancaman kepada penduduk.

“Bagi kejadian terbaharu ini, saya sudah pun membuat laporan di Balai Polis Gemencheh petang semalam bagi rujukan pihak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN