SHAH ALAM: Wakil-wakil rakyat DAP dibenarkan untuk menerima anugerah kebesaran yang membawa gelaran Datuk selepas parti bersetuju untuk meneliti syarat ketatnya sebelum ini.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara tersebut akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baharu yang akan dipilih hari ini.
“Sebelum ini kita ada dasar untuk tidak membenarkan mana-mana wakil rakyat DAP menerima anugerah Datuk dan sebagainya tetapi sekarang, setelah hampir 17 tahun kita berada dalam pelbagai kerajaan negeri serta Pusat.
“Kita sudah tentunya perlu melihat semula syarat-syarat ini, tidak boleh terlalu ketat kerana kerana ada sultan-sultan negeri yang ingin menganugerahkan gelaran Datuk kepada wakil rakyat kita,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18, hari ini.
Anthony berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ingin memberikan anugerah kepada Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim.
Bagaimanapun, katanya, syarat yang ditetapkan oleh DAP itu tidak membenarkan Suee Lim menerimanya.
Sultan Selangor bertitah secara terbuka berkenan ingin memberikan Ng Suee Lim Datuk, Tuanku Sultan ucap secara terbuka, baginda bertitah Suee Lim sudah lima penggal (jadi Ahli Dewan Undangan Negeri nak bagi Datuk.
“Kalau ikut syarat parti, tidak boleh terima. Kalau Suee Lim tidak terima, dia derhaka terhadap Sultan, jadi dia memang hendak pun (gelaran Datuk),” katanya.
Tambahnya, penganugerahan tersebut perlu dibentangkan di dalam CEC terlebih dahulu untuk meniliti dari kes ke kes sebelum membenarkan wakil rakyatnya menerima.
“Perlu ada syarat, kita tidak mahu ada budaya di mana hendak masuk DAP, tidak sampai tiga bulan sudah minta Datuk. Itu bukan budaya parti,” ujarnya. – UTUSAN










