PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000 menerusi kempen Pajak Gadai-i baharu iaitu ‘Gadai Emas Menang Emas’ yang berlangsung sepanjang tahun ini.
Hadiah utama adalah barangan kemas emas pelbagai jenis 916 (22k) bernilai RM100,000 sementara hadiah tempat kedua, barangan kemas emas pelbagai jenis 916 (22k) bernilai RM 75,000 manakala hadiah tempat ketiga iaitu barangan kemas emas pelbagai jenis 916 (22k) bernilai RM25,000.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya menyasarkan pertumbuhan nilai gadaian sebanyak RM100 juta sepanjang tempoh kempen sehingga 31 Disember itu.
“Kempen ini adalah siri kempen keempat selepas kejayaan kempen Kembara 999 Pajak Gadai-i yang dilancarkan pada 1 Mei 2020 hingga 31 Januari lalu yang turut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000.
“Menerusi kempen sebelum ini, Bank Muamalat telah mencatatkan peningkatan 248 peratus nilai gadaian bersamaan RM126 juta bagi perkhidmatan Pajak Gadai-i. Kempen ini telah menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan Pajak Gadai Islam menerusi 67 cawangan Bank Muamalat di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan Pajak Gadai-i, Bank Muamalat juga menawarkan 1 gram kepingan emas 999 (24k) eksklusif dengan logo Bank Muamalat untuk 100 pemenang bulanan yang terpilih sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Kini, pelanggan boleh mencagarkan barang kemas atau akaun emas mereka bagi memenuhi keperluan tunai segera atau untuk tujuan pelaburan, sekali gus layak menyertai kempen ini.
Tambah beliau, berikutan keadaan semasa pandemik Covid-19, Bank Muamalat menyahut saranan kerajaan untuk mempercepatkan proses pendigitalan masyarakat dengan menawarkan Gadaian Semula secara dalam talian.
“Para pelanggan sedia ada tidak perlu hadir ke cawangan untuk membuat gadaian semula. Mereka hanya perlu menghubungi Bank Muamalat dan pegawai yang ditetapkan akan meneruskan proses gadaian semula seperti yang dipersetujui oleh pelanggan.
“Gadaian semula secara dalam talian ini juga merupakan yang pertama di Malaysia bagi perkhidmatan Pajak Gadai-i,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











