PETALING JAYA: Pembelian sebidang tanah di mukim Setapak berkeluasan 2.02 hektar dijangka akan mengukuhkan lagi portfolio pembangunan Mah Sing Group Berhad di kawasan Lembah Klang.
Penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng berkata, kos pemerolehan sekitar RM409 setiap tapak persegi kelihatan adil memandangkan kos pemerolehan transaksi yang sama adalah RM355 hingga 376 setiap tapak persegi.
Menurutnya, Mah Sing mempunyai potensi yang didorong oleh sumbangan daripada unit sarung tangannya yang bermula pada tahun kewangan 2021 (FY21F) selain mempunyai kunci kira-kira yang baik dan hasil dividen yang lumayan sebanyak enam hingga tujuh peratus untuk FY21-23F.
Ngo Siew meilhat pengambilalihan itu sebagai sesuatu yang positif memandangkan status tanah tersebut yang matang dan dikelilingi oleh pelbagai kemudahan.
Mah Sing dilaporkan membeli sebidang tanah di Mukim Setapak, Kuala Lumpur berkeluasan 2.02 hektar pada harga RM89 juta.
Pembelian itu merupakan pembelian tanah kali kedua bagi Mah Sing untuk tahun ini dan projek pembangunannya akan dikenali sebagai M Astra.
Projek M Astra yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM618 juta itu akan dilancarkan dalam tempoh tujuh hingga 12 bulan dan pihaknya menyasarkan pendaftaran bagi projek itu pada suku ketiga tahun ini.
Pengasas dan Pengarah Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, M Astra juga melibatkan pembelian tanah bersaiz kecil yang pertama selepas M Oscar, M Luna dan M Adora pada tahun 2019.
“Pembelian tanah bagi projek M Astra itu adalah tepat pada masanya memandangkan sektor hartanah semakin menunjukkan pemulihan.
“Jadi, kami bersedia merebut peluang itu bagi memenuhi keperluan pembeli dengan menyediakan rumah pada harga mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan.
M Astra adalah pembangunan bercampur terdiri daripada dua blok suit perkhidmatan dengan menawarkan unit-unit yang mempunyai tiga dan empat bilik tidur keluasan daripada 850 hingga 1,030 kaki persegi serta dilengkapi kemudahan lot kedai.
Harga bagi setiap unit ditawarkan pada harga mampu milik bermula RM399,000.
Projek tersebut juga terletak di kawasan yang sudah membangun seperti Danau Kota, Desa Setapak, Setapak Jaya, Wangsa Maju, Titiwangsa dan Setiawangsa yang dilengkapi dengan kemudahan pengangkutan awam.
Secara dasarnya, pembelian tanah bagi projek M Astra itu meningkatkan bank tanah utama Mah Sing kepada 842.15 hektar, dengan jumlah baki GDV dan jualan yang belum dibeli sekitar RM25.26 bilion.
Bagi sasaran jualan Mah Sing tahun ini, 91 peratus daripada hartanahnya bernilai di bawah RM700,000 dan 51 peratus pula berharga di bawah RM500,000. – UTUSAN ONLINE











