Sentuhan motif flora dan batik klasik yang tidak lekang dek zaman menjadikan koleksi Gemilang Raya keluaran jenama Variante ini istimewa untuk dipakai ketika Syawal nanti.
Apatah lagi dengan rekaan eksklusif yang menggabungkan elemen klasik dalam potongan kontemporari.
Pengasas dan Pengarah Kreatifnya, Leslie Variyan berkata, konsep Refined Heritage yang diketengahkan itu diinspirasikan daripada busana tradisional seperti kebaya dan kurung, tetapi diberikan nafas baharu melalui struktur yang lebih moden dan versatil.
Katanya, pemilihan warna pula terdiri daripada tona alam semula jadi, termasuk palet lembut seperti sage green, dusty rose dan champagne beige, yang memberikan rasa tenang dan sofistikated.

“Koleksi raya kali ini menampilkan siluet moden dengan sentuhan anggun yang mengekalkan ciri sopan, sesuai untuk mereka yang mengutamakan keselesaan dan gaya elegan.
“Keunikan koleksi ini terletak pada perincian kemasan bersih, potongan lebih relaks dan penggunaan fabrik berkualiti tinggi yang memberikan alunan cantik pada setiap helaian,” katanya.
Saiz bermula dari 36 hingga 48, dengan lebih 100 rekaan eksklusif, yang terdiri daripada pelbagai siluet dan print untuk wanita.










