PETALING JAYA: Mahu nampak bergaya dan ikut trend pada Hari Raya Aidilfitri, menyebabkan ada rakyat Malaysia membuat pinjaman ah long.
Tindakan itu akan menyebabkan mereka terjebak dengan hutang dan berdepan pelbagai risiko pada kemudian hari termasuk hutang tidak berkesudahan, sekiranya gagal melangsaikan pinjaman dalam tempoh ditetapkan.
Seorang kerani di sebuah syarikat pinjaman wang mendedahkan, sudah ramai yang membuat pinjaman untuk menyam but Hari Raya di syarikatnya.
Dia memberitahu, setiap permohonan akan melalui beberapa peringkat tapisan untuk melayakkan mereka mendapat jumlah wang yang mahu dipinjam.
“Ya, memang sudah ramai yang mohon untuk buat pinjaman terutama untuk kegunaan Aidilfitri ini. Ada yang memohon hingga RM10,000,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Tinjauan Utusan Malaysia di media sosial pula mendapati, syarikat-syarikat pinjaman wang berlesen dan tidak berlesen makin giat membuat ‘promosi raya’ bagi memancing orang ramai terutama yang berdepan masalah kewangan, untuk membuat pinjaman.
Berdasarkan pemerhatian pada iklan yang dibuat, syarikat-syarikat tersebut menawarkan pinjaman penuh tanpa deposit atau tidak perlu membayar pendahuluan.
Selain itu, proses pinjaman pula dikatakan ringkas, tidak rumit dan kelulusan pantas dengan wang dimasukkan segera ke akaun peminjam.
Seorang peminjam ketika ditanya mengenai keperluan untuk meminjam duit daripada syarikat pinjaman memberitahu, tindakan itu adalah jalan mudah untuk mendapatkan duit dengan cepat.
Katanya, dia telah menggunakan banyak duit untuk kelengkapan barang dan kemasukan anak ke sekolah.
“Dalam masa yang singkat saya telah mengeluarkan banyak duit. Sekarang sudah mula persiapan untuk Aidilfitri pula,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim tidak menafikan terdapat segelintir rakyat Malaysia sanggup untuk meminjam wan g semata-mata mahu mengikut trend agar kelihatan bergaya ketika Hari Raya.
Beliau berkata, mereka sanggup berhutang untuk menukar perabot, langsir malah membeli kereta hanya untuk dilihat hebat semasa musim perayaan, sehingga sanggup membebankan kewangan mereka di kemudian hari.
“Rata-rata pakej pinjaman raya yang ditawarkan adalah antara RM5,000 hingga RM30,000. Jumlah ini adalah kadar biasa yang sering dipinjam daripada ah long.
“Namun, inilah punca bagaimana ramai peminjam akhirnya ditipu. Mereka mungkin hanya meminjam RM5,000 hingga RM30,000 pada mulanya, tetapi disebabkan terma yang tidak adil dan kadar faedah yang tinggi, mereka akhirnya perlu membayar jumlah yang jauh lebih besar.
“Ada yang terpaksa membayar balik sehingga RM70,000 atau RM80,000 akibat manipulasi dan penipuan oleh ah long. Hal ini menyebabkan mereka terjerat dalam beban hutang yang tidak berkesudahan,” katanya.
Hishamuddin berkata, sebahagian daripada mereka benar-benar meminjam kerana dalam keadaan terdesak dan tiada pilihan lain untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan.
“Namun, anggapan bahawa meminjam dengan ah long atau syarikat pinjaman wang boleh menyelesaikan masalah adalah salah. Sebaliknya, ia hanya akan menambah penderitaan.
“Mereka tidak berniat untuk membantu, sebaliknya menggunakan pinjaman sebagai perangkap untuk menjerat mangsa,” katanya. – UTUSAN











