GANAS dan memerlukan kekuatan fizikal serta mental yang mantap. Itu realiti yang perlu dihadapi dalam sukan ragbi yang sinonim dengan lelaki.
Kini sukan ragbi turut mendapat tempat di hati wanita di negara ini. Bagi Nur Hidayah Amran, 32, sukan itu semakin sebati dengannya dan mampu beraksi lincah di atas padang.
Malah, sukan ganas ini tidak menghalangnya untuk terus mempamerkan aksi cemerlang dalam aktiviti yang diceburi sejak di universiti. Menurut gadis yang berkhidmat sebagai guru ini, penglibatan dalam ragbi sentuh bermula sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang sahaja. “Selepas itu, saya memulakan latihan secara konsisten apabila terlibat mewakili Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam satu kejohanan.
“Alhamdulillah, selepas beberapa tahun saya masih meneruskan minat sama sehingga ke hari ini,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Ujarnya, sukan berkenaan turut menjadi terapi untuk kekal sihat dari segi fizikal dan mental. Kepuasan Sejak menyertai sukan ragbi sentuh, Nur Hidayah semakin berani dan yakin terutama dalam melibatkan perkara berkaitan pertandingan mahupun persaingan.
“Apabila kita mampu bersaing dengan orang lain, keyakinan diri terus meningkat di samping dapat membina karakter individu,” jelasnya.
Dia turut melihat sukan itu dalam aspek yang lebih positif termasuk mendisiplinkan seseorang. Tambahnya, ragbi membina hubungan erat dalam pasukan di samping mencipta komuniti yang menyokong antara pemain wanita.
“Ia juga membantu meningkatkan kecergasan badan, daya tahan, dan mengurangkan tekanan melalui kerja berpasukan dan adrenalin tinggi semasa permainan,” ujarnya.
Nur Hidayah turut mengakui sukan berkenaan satu kepuasan dan menyeronokkan. Namun, katanya, individu yang berminat perlu menjalani latihan secara konsisten dan bersikap positif.
“Aspek yang mencabar dalam sukan ini ialah fizikal, teknik permainan, mentaliti serta ketahanan.
“Jika tidak, sukar untuk menguasai permainan lasak ini,” jelasnya. Kini sukan ragbi sentuh semakin berkembang di peringkat sekolah rendah, menengah, universiti dan kelab.
Tambah Nur Hidayah, usaha pembangunan akar umbi dan penganjuran liga wanita membuka jalan untuk meningkatkan penglibatan serta minat terhadap sukan ini dalam kaum hawa.

Latihan, peraturan
Sementara itu, Nur Hidayah berkata, beberapa teknik dalam sukan ragbi sentuh sama seperti sukan lain.
Antaranya, dalam aspek pemanasan dan regangan selama 10 hingga 15 minit di samping latihan kecergasan seperti kardio dan kekuatan antara 20 ke 30 minit.
“Terdapat juga latihan lain seperti passing dan catching, tackling serta breakdown. “Untuk posisi scrum (30 hingga 40 minit) dan latihan taktikal (latihan line-out, scrum dan tendangan) diakhiri dengan sesi penyejukan badan iaitu 10 ke 15 minit,” katanya.
Walaupun sukan ragbi nampak ganas, terdapat peraturan ditetapkan seperti tidak bertindak balas secara agresif terhadap provokasi dan menghormati pihak lawan.
Dalam pada itu, katanya, sejarah permainan ragbi wanita di Malaysia bermula sebagai cabaran untuk memecahkan monopoli terhadap sukan yang dianggap maskulin. “Pada peringkat awal, penyertaan wanita dalam sukan ini lebih tertumpu kepada ragbi sentuh yang tidak melibatkan kontak fizikal secara penuh.
“Bagaimanapun, di awal 2000, satu lagi jenis iaitu ragbi tackle mula mendapat perhatian apabila beberapa universiti dan kelab sukan mula menawarkan peluang kepada wanita untuk bermainbya,” jelasnya.
Antara universiti yang menjadi perintis ragbi tackle wanita ialah UiTM dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Malah, katanya, Persatuan Ragbi Malaysia turut mula mengiktiraf potensi wanita dalam sukan ini.
Sementara itu, Nur Hidayah berkata, antara cabaran yang dihadapi dalam sukan ini ialah kekurangan infrastruktur seperti padang dan peralatan.
Cabaran lain ialah, kekurangan jurulatih khusus untuk pasukan wanita, penajaan, pertandingan dan pembangunan pasukan. “Selain itu, bilangan kejohanan wanita masih terhad sekali gus menyekat peluang pemain untuk meningkatkan pengalaman dan kemahiran,” ujarnya.

Harapan
Walaupun berdepan dengan cabaran, Nur Hidayah mempunyai misi jelas bagi memastikan sukan ragbi dalam kalangan wanita dapat diketengahkan di masa depan.
Sebagai contoh, ujarnya, penubuhan pasukan Cattleya Rugby Club pada 2024 di Johor untuk ragbi tackle bakal membuka peluang besar untuk pembangunan sukan ini di peringkat akar umbi dan profesional.
“Kelab ini bertujuan menarik lebih ramai wanita, terutama pelajar sekolah dan universiti untuk menyertainya.
“Program latihan berstruktur disediakan untuk mengasah bakat baharu dan meningkatkan kemahiran pemain sedia ada pada setiap hari Ahad,” jelasnya.
Penyertaan pertama Cattleya RC ialah pada kejohanan Johor tujuh sebelah 2024. Dia dalam masa sama, berharap agar golongan wanita terus mencuba sukan ini dan diberi peluang sama sebagaimana lelaki. “Jangan takut untuk mencuba kerana stereotaip kononnya ragbi hanya untuk lelaki tidak benar.
“Tidak perlu menjadi hebat untuk mula, tetapi anda perlu mula untuk menjadi hebat,” ujarnya.










