Rumah yang kelihatan kemas, bersih dan lapang sememangnya impian setiap wanita.
Barulah minda terasa tenang dan damai setiap kali melangkah masuk ke kediaman.
Minggu ini Seri kongsikan satu lagi kombinasi dekorasi yang boleh dipertimbangkan untuk penggemar dekorasi unik tetapi masih mahu mengekalkan ruang minimalis dan santai.
Kediaman milik guru, Nur Adibah Mohd. Asmori ini mengetengahkan kombinasi dekorasi yang cukup menarik untuk mencipta gaya estetik.
Gaya rumah ladang ala Inggeris yang dipadankan dengan sentuhan industrial membangkitkan ruang kemas, bersih dan lapang melalui penggunaan rona cerah dan susun atur minimal.
Kata Nur Adibah, konsep rumah ladang industrial itu menjadi pilihan kerana gemarkan suasana moden selain ringkas dan menenangkan.
“Elemen kayu yang ditonjolkan menyerlahkan konsep rumah ladang. Selain itu, penggunaan warna utama iaitu putih di bahagian luar dan dalam rumah memainkan peranan yang penting.
“Elemen industri pula adalah pada padanan dengan objek daripada besi. Elemen ini ditonjolkan pada grill rumah, lampu-lampu dinding, pemegang pintu, perabot dan beberapa aksesori lain,” katanya.

PEMILIHAN PERABOT
Mengambil masa dua tahun untuk melengkapkan konsep ini secara keseluruhannya, kata Nur Adibah ia memberi cabaran dari segi pemilihan perabot dan aksesori.
“Ada sebahagian perabot yang menepati konsep rumah ladang ini sukar didapati di pasaran dan disebabkan itu saya memilih untuk membuat tempahan khas dengan material sesuai.
“Bagaimanapun, bagi saya konsep ini membuatkan rumah nampak tenang dan luas. Pemilihan warna-warna neutral dalam setiap ruang rumah membuatkan suasana seperti di alam semula jadi,” ujarnya yang mengambil inspirasi dekorasi daripada rancangan televisyen dan media sosial. Melihat keseluruhan ruang yang dilatari rona putih, pasti ada yang gusar mengenai cara penjagaannya.

Mengakui penjagaannya agak rumit dan renyah terutama dengan kehadiran anak kecil namun, Nur Adibah tidak menganggap ia sebagai satu masalah besar.
Terutama, dengan kehadiran pelbagai jenis produk penjagaan rumah yang memudahkannya untuk mengekalkan rona dinding putih polos dan berseri pada kediaman teres dua tingkat berkeluasan 1,600 kaki persegi itu.
Keseluruhan ruang banyak menggunakan rona-rona lemnut seperti putih dan coklat. Kehadiran rona gelap seperti hitam dan hijau turut diselitkan pada beberapa bahagian sebagai kontra yang seimbang.










