Pelaburan MDH bukan 'bailout' Sapura Energy - PNB - Utusan Malaysia

Pelaburan MDH bukan ‘bailout’ Sapura Energy – PNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemodalan Nasional Bhd. (PNB) memberi lapan sebab pelaburan Malaysia Development Holdings Sdn. Bhd. (MDH) dalam Sapura Energy Bhd. (SEB) bukannya ‘bailout’ oleh kerajaan seperti didakwa pelbagai pihak.

PNB selaku pemegang saham utama SEB yang sedia ada berkata, sebab pertama ialah dana yang diperoleh daripada pelaburan itu digunakan secara eksklusif untuk membayar vendor tempatan, tanpa memberi manfaat kepada mana-mana pemegang saham SEB atau pemiutang kewangan yang sedia ada.

Katanya, pembiayaan itu penting untuk kelangsungan kewangan penyedia perkhidmatan Malaysia dalam ekosistem minyak dan gas.

“Ini memandangkan SEB mempunyai lebih daripada 2,000 vendor, kebanyakannya adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta menggaji kira-kira 59,000 pekerja teras dalam industri minyak dan gas.

“Kedua adalah untuk memelihara Industri Minyak dan Gas (O&G) Malaysia memandangkan SEB adalah penyedia perkhidmatan kritikal untuk industri minyak dan gas Malaysia.

“Pelaburan ini menyokong perniagaan tempatan dan mengekalkan integriti rantaian bekalan kerana memelihara SEB dan ekosistem O&G yang lebih luas adalah penting untuk kesinambungan projek yang menyumbang kepada hasil dan jaminan tenaga negara.

“Inisiatif ini memastikan kestabilan dan kemajuan keseluruhan rantaian nilai Minyak dan Gas Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Seterusnya, PNB berkata, dana tersebut mampu menjana pertumbuhan ekonomi secara positif kerana tanpa SEB dan vendor tempatan, kerja tersebut perlu disumberluarkan kepada penyedia asing dan bukan Malaysia, mengakibatkan pembayaran mengalir keluar dari Malaysia.

“Pelaburan ini akan memastikan kerja minyak dan gas negara akan terus dilakukan oleh rakyat Malaysia, memberi manfaat kepada GNI Malaysia sebanyak RM1.1 bilion dan memberi kesan positif kepada kadar pertukaran mata wang Malaysia.

“Sebab keempat pula adalah ia memudahkan penyelesaian penstrukturan salah satu korporat dan hutang terbesar di Malaysia.

“Pelaburan ini penting dalam memudahkan penyelesaian salah satu langkah penstrukturan hutang terbesar di Malaysia, melibatkan beberapa bank terbesar.

“Pelaburan ini juga akan membantu mengelakkan pembubaran SEB, yang akan mengakibatkan penjualan aset minyak dan gas strategik negara secara lelongan, di dalam dan luar negara,” ujarnya.

Mengulas sebab kelima, PNB berkata, pelaburan MHB selaras dengan amalan terbaik penstrukturan global selepas pemiutang institusi kewangan SEB bersetuju dengan potongan berkesan yang ketara serta potongan tidak langsung akibat kehilangan nilai daripada penukaran hutang kepada saham pada premium tinggi.

“Selain itu, pemegang saham SEB yang sedia ada akan mengalami pencairan yang ketara daripada penukaran saham di bawah Skim Penstrukturan Hutang.

“Keenam, sebagai sebahagian daripada skim penstrukturan, SEB telah menjalankan proses ketekunan wajar undang-undang dan kewangan yang menyeluruh serta semakan perniagaan yang komprehensif oleh pakar bebas, termasuk semakan kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang menyeluruh.

“Manakala sebab ketujuh pula, pelaburan ini adalah sama seperti apa yang negara lain telah lakukan untuk memudahkan penstrukturan pemain industri kritikal mereka.

“Contohnya termasuk pelaburan kerajaan Singapura dalam penstrukturan semula Sembcorp melalui Temasek serta pelaburan Korea Selatan dalam penstrukturan semula Daewoo Shipbuilding,” katanya.

Bagi sebab terakhir, katanya, pelaburan oleh MDH boleh dibayar balik Pelaburan dalam SEB RCLS menjana pembayaran keuntungan tetap kepada MDH dan boleh ditebus dengan opsyen untuk menikmati kenaikan melalui penukaran kepada saham sekiranya harga saham SEB meningkat pada masa hadapan.

“Pelaburan oleh MDH akan membuka jalan untuk penyelesaian usaha penstrukturan kewangannya yang akan membawa kepada SEB mendapatkan semula kedudukan kewangan yang kukuh dan pemulihan.

“Syarikat ini komited membalas kepercayaan dengan terus melaksanakan rancangan perniagaan dan penstrukturan syarikat, memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang dan ketahanan operasi serta memainkan peranan berterusan sebagai pemangkin untuk industri perkhidmatan O&G tempatan.

“PNB yakin pengurusan baharu SEB akan terus melaksanakan perniagaan sedia ada dan rancangan penstrukturan semula syarikat, sambil memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang dan daya tahan operasi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×