PETALING JAYA: Terlalu pasif dan tiada inisiatif untuk menang, itu reaksi Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.
Beliau jelas kecewa dengan pasangan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tersingkir seawal pusingan pertama pada Seluruh England, kelmarin.
Pasangan No. 5 dunia itu ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan ke-15 dunia, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 16-21, 21-16, 18-21.
“Dalam set pertama Aaron-Wooi Yik bermula terlalu statik, pasif dan mereka tidak punya inisiatif untuk berdepan beregu Denmark yang ternyata bebas menyempurnakan setiap pukulan, dari situ mereka (lawan) bina keyakinan.
“Pergerakan Aaron dan Wooi Yik terlalu perlahan dan asyik menunggu (pukulan balas lawan), walaupun pada set kedua mereka bermain lebih baik.
“Tetapi, set ketiga bukan saya hendak beri alasan tetapi Woi Yik sedikit beremosi apabila 10 servis dia dipersalahkan (pengadil),” katanya ketika dihubungi di Birmingham, semalam.
Pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, pengadil dilihat sedikit berat sebelah apabila kesilapan serupa dilakukan beregu Denmark tidak dianggap sebagai satu kesalahan telah menjejaskan fokus dan emosi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris itu.
“Wooi Yik memang bermain di bawah pengaruh emosi, walaupun Aaron-Wooi Yik merupakan pemain berpengalaman, tetapi, apabila sampai 10 kali servis mereka dibatalkan pengadil, ia memang beri kesan kepada fokus mereka,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik isu pengadilan, Rexy mengakui, permainan beregu itu tidak cukup mantap dan masalah itu terjadi berikutan perubahan serta strategi semasa membuat persiapan bersama jurularih baharu, Herry Iman Pierngadi.
Katanya, kedua-duanya masih belum menemukan titik penyesuaian terhadap perubahan taktikal dalam permainan mereka dan memerlukan sedikit masa bagi mencari keserasian. – UTUSAN











