KUALA LUMPUR: Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 kini dalam fasa akhir untuk dimuktamadkan dan akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 Mei ini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, pelan ini mengandungi matlamat, objektif dan langkah strategik untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi serantau.
“Pelan Strategik AEC ini akan memastikan ASEAN terus berkembang sebagai pasaran yang lebih berdaya saing dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).
“Malaysia komited untuk menerajui pelaksanaan pelan ini agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua negara anggota,” katanya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Ros Suryati Alang berkenaan langkah strategik diambil oleh Malaysia dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, 18 Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) turut dilaksanakan bagi memberi tumpuan kepada sektor perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, tenaga hijau serta pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.
“Sektor-sektor ini memainkan peranan penting dalam memastikan ASEAN kekal relevan dalam ekonomi global.
“Kami percaya dengan strategi yang betul, ASEAN dapat muncul sebagai hab pelaburan utama di rantau ini,” katanya. – UTUSAN











