LONDON: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone percaya juara empat kali, Max Verstappen akan meraih gelaran kelima pada musim ini sekali gus menyamai rekod Michael Schumacher, sebagai satu-satunya pemandu yang memiliki lima gelaran berturut-turut.
Walaupun berlaku persaingan sengit dengan Lando Norris dari McLaren tahun lalu dan mereka meraih gelaran juara pengeluar buat pertama kalinya sejak 1998, Ecclestone berpendapat bahawa Verstappen masih mempunyai kelebihan berbanding pencabarnya.
“Saya gembira dalam banyak cara bahawa kejuaraan ini terbuka dengan cara seperti ini, dan itu bagus. Saya masih rasa Max akan menang. Tiada sebab mengapa dia tidak patut.
“Jika dia mempunyai peralatan yang sesuai, sudah tentu tiada perbincangan mengenai perkara itu. Ia akan menjadi pasti. Jika kereta itu berfungsi dengan baik, dia akan menyelesaikan tugasnya,” katanya.
Musim ini menjadi tahun terakhir penguasaan daripada Verstappen selepas musim 2024 yang mendebarkan dan dijangka pada 2025 saingan akan menjadi sangat kompetitif sebelum perubahan peraturan pada 2026.
Red Bull memulakan tahun 2024 dengan kuat, meneruskan dominasi mereka dari tahun sebelumnya apabila pasukan itu memenangi hampir kesemua perlumbaan.
Namun, selepas kemenangan Verstappen di Grand Prix Sepanyol 2024, pasukan itu menghadapi masalah dengan RB20, yang menyebabkan McLaren dan Ferrari mengatasi mereka dalam kedudukan. – AGENSI/UTUSAN










