PETALING JAYA: Pengilang beras didakwa mula menunjukkan ‘kuasa’ apabila meminta bayaran tunai daripada peruncit bagi mendapatkan bekalan beras putih tempatan (BPT) yang masih kurang di pasaran.
Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin yang berkata, terdapat pengilang beras meminta bayaran tunai jika peruncit mahukan bekalan BPT, tanpa mengikut perjanjian dagangan sedia ada.
Menurut beliau, tindakan itu menimbulkan kemusykilan kerana ia hanya untuk bekalan BPT, tidak membabitkan beras import yang boleh mengikuti perjanjian sedia ada iaitu bayaran boleh dibuat 30 hari selepas pengilang menghantar bekalan.
“Bukan kita tidak boleh bayar, tetapi pembekal-pembekal yang besar ini mempunyai sistem, ini bukan kedai mamak, awak hantar dua bungkus barang lepas itu terus mintak duit. Kena berfikir sedikit mengenai perkara ini.
“Untuk pasar raya, dia kena hantar ke gudang dan barang itu akan turun ke cawangan-cawangan lain. Kemudian, buat kiraan lalu ibu pejabat kena semak balik serta memerlukan tiga orang untuk tandatangan. Ini prosesnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan, peniaga termasuk pengusaha pasar raya masih belum menerima bekalan BPT walaupun dikatakan beras tersebut memasuki pasaran bermula awal bulan ini.
Ameer Ali yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) berkata, beliau sangsi dengan pengilang yang meminta bayaran secara tunai walaupun sudah bertahun berurusan dengan pasar raya.
“Apa bezanya dulu dan sekarang? Bezanya, sekarang barang (beras BPT) tidak cukup, maknanya dia (pengilang) hendak `main.’ Dulu tidak ada masalah, kenapa sekarang ia menjadi masalah pula?
“Pengilang ini apabila barang tidak cukup, dia hendak guna dia punya kuasa. Awak hendak barang maka perlu bayar tunai tetapi barang tidak cukup disebabkan awak punya masalah, dia yang simpan barang itu.
“Macam mana apabila kerajaan beri subsidi RM150 juta, secara tiba-tiba bekalan BPT ada banyak pula? Sedangkan sudah dua tahun kita tidak nampak ‘bayangnya’. Apa logiknya? Jangan salahkan pasar raya dalam hal ini,” katanya.
Beliau berkata, meminta bayaran tunai untuk bekalan BPT merupakan alasan dari pengilang yang enggan membekalkan makanan ruji itu ke pasar-pasar raya.
Mengulas keadaan semasa bekalan BPT, Ameer Ali berkata, pengilang menghantar jumlah yang sangat sedikit kepada pasar raya menyebabkan ia cepat habis dan sukar untuk dibeli pengguna lain.
“Pembekal hantar dua kali untuk seminggu dan satu kedai hanya dapat 50 ke 100 kampit BPT tetapi kita memerlukan sekurang-kurangnya 500 kampit untuk satu hari. Kita juga tidak tahu berapa banyak kampit beras yang pembekal akan hantar,” jelasnya.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memanggil pasar raya-pasar raya besar bersama dengan pembekal atau pengilang untuk berbincang mengenai penghantaran bekalan BPT.
“Sebagai contoh, pembekal A, B dan C akan hantar bekalan BPT ke Mydin, untuk pasar raya lain pula pembekal selebihnya akan hantar. Perlu juga makluman dalam satu bulan berapa kampit akan dihantar. Ini baru jelas.
“Ini ada pembekal kata mereka akan hantar, ada pula kata tiada bekalan. Sedangkan kita bayar pembekal, kita seolah-olah jadi pengemis pula,” katanya. – UTUSAN










