Peluang Zii Jia bangkit

Peluang Zii Jia bangkit

Lee Zii Jia gagal melangkah lebih jauh di Orleans Masters 2025 selepas tewas kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen di suku akhir, semalam. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk melangkah lebih jauh di Orleans Masters 2025 lebur selepas tewas mengejut kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen, di peringkat suku akhir, semalam.

Selaku pilihan utama kejohanan, Zii Jia gagal mengekang asakan Nguyen yang berada di ranking ke-42 dunia apabila tunduk dalam straight set 23-21, 21-7 dalam tempoh 39 minit di Palais des Sports, Perancis.  

Bermula dengan baik pada set pertama, Zii Jia bangkit daripada ketinggalan 10-14 untuk mendahului 18-16, namun kesilapan di saat genting memberi ruang kepada Nguyen mencuri kemenangan 23-21.  

Set kedua menyaksikan rentak permainan Zii Jia semakin hilang arah, sementara Nguyen semakin garang mendominasi perlawanan sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan mudah 21-7.  

Kini, tumpuan Zii Jia beralih ke Kejohanan Seluruh England bermula Selasa depan, yang mana beliau dijadualkan menentang pemain Hong Kong, Angus Ng, dalam usaha mencari kebangkitan semula.  

“Sedang berusaha kembali selepas berehat lama. Terima kasih Orleans Masters 2025. Teruskan ke yang seterusnya,” tulis Team LZJ dalam satu hantaran di media sosial.  

Walaupun terkandas, prestasi Zii Jia dilihat semakin positif selepas bergelut dengan kecederaan buku lali kanan yang dialaminya ketika Jelajah Dunia Akhir BWF, Disember lalu.  

Sebelum tersingkir, dia sempat mempamerkan aksi cemerlang dengan menumbangkan Srikanth Kidambi dari India dalam straight set 21-11, 21-17 selepas menundukkan pemain Taiwan, Chi Yu Jen, 17-21, 21-17, 21-17. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×