KEHIDUPANNYA bersama suami terdahulu yang juga mantan penyanyi kumpulan nasyid, Allahyarham Suhaimi Saad sering kali menjadi mangsa kecaman warga maya dek keputusan mereka memilih gaya hidup yang serba sederhana.
Isu tidak mempunyai mesin basuh dan peti ais di kediaman Ina Naim atau nama lengkapnya Nordiana Md. Naim menjadi bualan umum kerana dianggap tidak relevan dengan kehidupan yang serba canggih ini.
Malah, wanita berusia 41 tahun ini pernah didakwa kononnya hidup dalam keadaan daif kerana suami tidak menyediakan semua keperluan itu.
Namun, di sebalik semua kecaman itu, Ina dilihat tetap berdiri teguh di belakang suaminya.
Sebagai tuan badan yang menjalani kehidupan sebegitu, dia sedikitpun tidak mengeluh.
Sebaliknya, beliau menganggap segala keperluan itu tiada bandingnya dengan arwah suami yang sentiasa melayani beliau dan anak-anak dengan tertib.
Malah, selepas Suhaimi menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman pada paru-paru dua tahun lalu, Ina masih mempertahankan tindakan suaminya itu yang terbaik buat keluarga mereka.
Kematian itu juga membuka mata warga maya betapa tingginya nilai seorang isteri yang ditunjukkan oleh Ina.
Seorang isteri yang teguh berdiri di sisi suami tidak kira sama ada di waktu suka ataupun duka.
Malah, ada yang mengatakan Ina adalah contoh isteri solehah yang setia menyokong dan menjaga nama baik suami.
Sempena sambutan Hari Wanita yang jatuh pada hari ini, saya kira, Ina Naim adalah sosok yang sesuai untuk menggambarkan betapa seorang wanita itu kuat dalam menempuhi segala badai dan berkorban demi keluarga.
Beliau punya rupa, punya bakat menyanyi malah pernah mengeluarkan album mini solonya, Duhai Hati ketika awal kemunculannya.
Beliau boleh sahaja melangkah lebih jauh dengan bakat yang ada, namun rasa kasih dan tanggungjawabnya pada keluarga membuatkan wanita ini rela melepaskan segala-galanya.
Beliau ketepikan segala kemewahan, populariti dan dunia hiburan demi memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan juga ibu.
Kata Ina, pegangan beliau hanya satu.
“Isteri syurganya pada suami, maka kalau hendak mudah masuk syurga dari pintu yang mana-mana, maka taatlah pada suami.
“Tiga perkara sahaja yang memudahkan isteri masuk syurga. Jaga solat, puasa dan taat pada suami.
“Ada ketiga-tiga itu, maka Allah kata masuklah kamu dari pintu yang mana-mana di dalam syurga. Allah bagi akal fikiran yang sihat, boleh fikir dan bertindak ikut akal kita,” katanya kepada Seri.
Isteri pelengkap suami

Tidak keterlaluan jika saya katakan anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini sangat komited menjalankan tugas sebagai seorang isteri.
Sementelah, tugas itu bukanlah mudah kerana memerlukan kesabaran dan toleransi yang tinggi antara kedua-dua belah pihak.
Bahagia bergelar suri hati kepada jurutera, Mohd. Khairul Rizal Shukor, 41, penghujung tahun lalu, kata Ina, dia tetap berpegang kepada prinsipnya iaitu isteri adalah pelengkap suami.
“Sebab itu Allah ciptakan Hawa, supaya berpasang-pasangan dan saling melengkapi.Walau seburuk manapun suami kita, kita yang pilih dan Allah yang beri, jadi hormat dan sayanglah suami kita, doakan yang baik-baik untuk suami kita. Allah Maha Mendengar,” kongsinya.
Paling penting, katanya, gunakan akal dengan sebaiknya dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil supaya sentiasa berada dalam landasan yang betul.
Sibuk berniaga
Dalam perkembangan lain, ibu kepada empat cahaya mata ini juga sedang sibuk mengusahakan perniagaan sabun penjagaan wajahnya.
Sabun Muka Diana yang sudah memasuki tahun kesembilan kini semakin mendapat kepercayaan pelanggan.
Tidak terhenti di situ, wanita ini juga meluaskan lagi empayarnya dengan mengeluarkan produk penjagaan bibir, sambal, kopi dan juga koko.
Kata Ina, minat dalam bidang perniagaan menjadi pendorong utama selain mengikuti sunnah Nabi untuk berniaga.
“Alhamdulillah, selain menjadi ibu kepada empat orang anak dan isteri, saya juga sibuk dengan perniagaan saya, berniaga di media sosial dan sebagainya.
“fokus utama untuk memastikan perniagaan saya berjalan dengan lancar dan paling penting hubungan saya dengan Allah. Saya ingin banyak memperbaiki dan dekatkan diri padaNya,” kongsinya.
Sempena Hari Wanita, Ina juga tidak terlepas untuk memberikan ucapan kepada wanita-wanita di luar sana.
“Untuk kaum hawa, selamat Hari Wanita, semoga kita cekal untuk menghadapi apa jua rintangan yang datang. Jaga hubungan kita dengan Allah. Maka Allah akan jaga hubungan kita dengan pasangan kita,” ucapnya.-UTUSAN










