PETALING JAYA: Pemuda Pas kekal dengan keputusan mengadakan himpunan untuk membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi penjelasan mengenai rang undang-undang (RUU) tersebut.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohd. Hafez Sabri berkata, ketetapan nilai ambang baharu yang diturunkan akan menimbulkan ruang untuk penafian hak kepada golongan minoriti.
Kata beliau, sesi penerangan dari kerajaan dibuat secara terburu-buru hingga menyebabkan berlaku kekeliruan dan percanggahan antara dokumen.
Katanya, mekanisme berkait undang-undang tersebut perlu dikaji dengan lebih mendalam dan kemas bagin memastikan hak pemilik tidak dikompromi.
“Pemuda Pas menegaskan bahawa himpunan bantah RUU PSB akan diteruskan dengan skala yang lebih besar berdasarkan hak yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sekiranya kerajaan gagal mendengar suara rakyat di bawah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, Anwar mengingatkan pembangkang untuk tidak menggunakan kebebasan dan kelonggaran untuk berhimpun yang diberikan oleh kerajaan sebagai platform untuk menyebarkan kepalsuan, terutama berkaitan RUU URA.
Mohd. Hafez yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi mendakwa seruan pihaknya untuk mengadakan perhimpunan bagi membantah URA adalah sangat penting dan sigifikan.
“Selain itu, himpunan ini bukan sekadar membantah secara membuta tuli tetapi jawapan balas kepada siri jawapan daripada pimpinan kerajaan yang angkuh yang menafikan persoalan dan keresahan rakyat.
“Selain mendesak kerajaan untuk membuka semula meja rundingan dan penerangan holistik kepada pihak berkepentingan bukan terhad kepada pemaju dan ahli akademik namun menyisihkan rakyat yang terlibat,” katanya.










